Renault Zoe E-Tech 2023 rasmi - dua varian, jarak gerak 395 km, dari RM165k

oleh Mohamad Hanif|
TC Euro Cars (TCEC) hari ini secara rasmi melancarkan EV generasi baharu Renault Zoe E-Tech 2023 untuk pasaran tempatan.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Seperti yang diumumkan pada tahun lalu, Renault Zoe didatangkan dalam dua varian utama, iaitu Zoe R110 (harga jualan RM165,000) manakala Zoe R135 pula berharga RM179,000 - kedua-dua atas jalan tanpa insurans.

Secara standard, Renault Zoe didatangkan dengan motor elektrik tunggal pacuan roda hadapan.

Zoe R110 mempunyai kuasa 110 PS dan daya kilas 225 Nm, di mana pecutan 0-100 km/j dalam masa 11.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 135 km/j.
 

Zoe


Sementara Zoe R135 pula lebih berkuasa, mampu menjana kuasa 135 PS dan daya kilas 245 Nm, pecutan 0-100 km/j dalam 9.5 saat dan kelajuan maksimum 140 km/j.

Pek bateri berkapasiti 52 kWh pula membenarkan jarak gerak yang lebih jauh - sehingga 395 km untuk Zoe R110 dan 386 km untuk R135.

Renault Zoe turut menyokong pengecasan AC 22 kW dengan tempoh pengecasan 0-100 peratus dalam masa tiga jam, diikuti pengecasan DC 50 kW di mana pengecasan 10-80 peratus boleh diselesaikan dalam masa 70 minit sahaja.

Renault Zoe turut dilengkapi dengan sistem brek regeneratif yang boleh mengurangkan keperluan untuk menekan brek dengan kerap.
 

Zoe


Dari segi dimensi, Renault Zoe mengekalkan ukuran seperti model terdahulu, seperti panjang 4,087 mm, tinggi 1,562 mm dan lebar 1,945 mm dengan ruang kargo sebesar 338 liter.  

Ciri luaran yang dibawakan termasuklah lampu LED sepenuhnya yang terdiri daripada lampu utama Pure Vision, lampu DRL berbentuk C, lampu kabus, lampu isyarat membelok belakang dinamik, serta lampu membelok pada cermin sisi.

Kedua-dua varian dilengkapi dengan rim aloi bersaiz 16 inci dengan balutan tayar 195/55, serta sistem brek cakera depan dan belakang.
 

Zoe


Untuk ruang kabin, Renault Zoe dilengkapi dengan panel instrumen digital bersaiz 10 inci dengan paparan spesifik pemanduan elektrik, indikasi GPS (R135), sistem infohibur Renault Easy Link bersaiz 9.3 inci, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto secara terbina, pengecasan peranti tanpa wayar, upholsteri fabrik diperbuat daripada bahan kitar semula serta sistem audio enam pembesar suara.

Selain itu, terdapat juga cermin utama akustik, penderia parkir belakang, brek parkir automatik, lampu kabin LED, kawalan iklim automatik, serta tambahan dua slot USB, cermin pandang belakang elektrokromik, kamera undur dan penderia parkir hadapan untuk varian R135.

Ciri keselamatan termaju yang dimuatkan termasuklah amaran penukaran lorong (LDW), kawalan kestabilan elektronik (ESC), anti-slip regulation (ASR), bantuan brek kecemasan (EBA), serta bantuan mula mendaki (HSA).

Sementara Zoe R135 pula mendapat tambahan ciri seperti lampu tinggi adaptif (AHB), amaran titik buta (BSW), dan bantuan parkir bebas tangan.
 

Zoe


Untuk pasaran Malaysia, Renault Zoe didatangkan dengan pilihan warna hitam solid dan putih, serta pilihan hitam, biru, merah dan ungu untuk varian R135.

Kedua-dua varian hadir dengan jaminan pengeluar selama tiga tahun/100,000 km, sementara bateri EV pula dilindungi jaminan selama lapan tahun/160,000 km (kapasiti minimum 70 peratus).

TCEC juga turut menawarkan sehingga tiga pelan langganan Renault Subscription seperti berikut:

Zoe


Pelanggan yang membeli atau melanggan Renault Zoe diberikan pilihan untuk pemasangan asas pengecas Wallbox VESTAL 7kW (RM6,250) atau wallbox VESTEL 22 kW (RM6,950) untuk kegunaan rumah atau pejabat, di mana kos yang dinyatakan itu adalah termasuk kabel sepanjang 15 meter.

Penghantaran pertama dijangka akan dibuat menjelang Jun atau Julai 2023.