Rentas negeri: 1.4 juta kenderaan setiap hari di PLUS sejak Jumaat

oleh SALINA JALIL|
gambar hiasan
Sejak pergerakan rentas negeri dibenarkan bermula 11 Oktober, orang ramai tidak melepaskan peluang untuk pulang ke kampung serta melancong bersama keluarga atau rakan.


Ia menyaksikan pertambahan bilangan kenderaan di jalan serta lebuh raya di seluruh negara, terutama pada hujung minggu dan hari kelepasan am termasuk Sambutan Maulidur Rasul, semalam.
NISSAN MREC Banner Campaign Mar

 

Tinjauan Astro AWANI di Plaza Tol Jalan Duta mendapati trafik masuk ke Kuala Lumpur berjalan lancar pada tengah hari, namun kenderaan dilihat mula bertambah kira-kira jam 6.30 petang semalam.

 

Sementara itu, Ketua Perhubungan Libat Urus Stategik PLUS, Syed Mohammed Idid Syed Ahmad Idid berkata, dari Jumaat lalu hingga Isnin, terdapat peningkatan kira-kira 300,000 kenderaan sehari yang menggunakan lebuh raya seliaan mereka.

 

"Dari hari Jumaat, kita nampak ada peningkatan. Sebelum ini trafik harian antara 1 juta ke 1.1 juta. Bermula Jumaat lepas, ia meningkat dan kita anggarkan bertambah kepada 1.4 juta kenderaan sehari.

 

"Begitupun, dari laporan yang saya terima, trafik dari selatan dan utara yang pulang ke bandar raya masih terkawal. Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) pun semua terkawal," katanya ketika ditemui di Plaza Tol Jalan Duta pada Selasa.

 

Mengulas pematuhan prosedur operasi standard (SOP), beliau berkata rakyat Malaysia mematuhi SOP sebaiknya terutama ketika berada di R&R.

 

"Keluarga Malaysia memang patuh kepada SOP. Ramai menunjukkan status vaksin lengkap mereka di telefon bimbit mereka. Tapi ada juga yang kata bateri telefon bimbit dah habis.

 

"Jadi kita nak minta pada masa depan, bawa kad vaksinasi untuk menunjukkan status vaksinasi lengkap anda," ujarnya.

 

"Kami juga sarankan untuk setiap pelanggan lebuh raya, selepas setiap dua jam memandu, ambillah peluang untuk berehat di R&R. Di sana kami ada banyak juadah, gerai-gerai makan," katanya.

 

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menerusi kolaborasi Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan PLUS, pemilik kenderaan elektrik boleh…
Berita Domestik
Penutupan itu adalah untuk memberikan laluan kepada penurapan jalan secara berpringkat yang akan…
Berita Domestik
Menerusi Facebook rasminya hari ini, JPJ memaklumkan kesalahan itu dikesan melalui operasi…