Satu contoh kereta GT ialah Rimac Nevera yang diakui sendiri oleh pengasas syarikat, Mate Rimac.
Di sebalik kuasa tinggi, teknologi rangkaian kuasa canggih dan pemecah rekod, Nevera dibangunkan sebagai sebuah GT.
Nevera merupakan templat yang bagus dan terbaru Rimac memperkenalkan Nevera R.
Model terbaru ini direka untuk menjadi alter ego atau personaliti kedua Nevera dengan bertukar dari GT hiper kepada kereta sport hiper.
Nevera R direka untuk selekoh dan pada masa yang sama lebih berprestasi di laluan lurus dan lebih pantas daripada si pemecah rekod Nevera.
Nevera R mampu memecut sehingga 300 kilometer sejam (km/j) dalam masa 8.66 saat.
Kereta ini dibekalkan teknologi All-Wheel Torque Vectoring generasi baharu, brek canggih, sistem bateri berorientasikan prestasi dan tersedia dengan 2,107 kuasa kuda (hp).
Para pereka dan jurutera Rimac membuat penilaian karakteristik Nevera secara mendalam dan membangunkan semula beberapa bahagian ke arah kereta sport hiper.
Satu lagi ciri kereta GT ialah rekaannya yang bersahaja, anggun, matang dan tidak terlampau agresif.
Nevera sebagai GT tidak terlalu sopan namun lebih menyerlah apabila dijadikan Nevera R.
Bahagian depan lebar ternganga dan garisan melintang menekankan ciri-ciri kecekapan aerodinamik, kedudukan dan kelebaran kereta.
Badan kereta lebih rendah dan turut menyerlah dengan rekaan batang rim jenis berakar dalam saiz 20 inci di depan dan 21 inci di belakang.
Sisi kereta juga menarik dengan keseimbangan di antara warna badan dan gentian karbon yang terdedah.
Satu lagi ciri menyerlah ialah sayap belakang kekal dan bersama pakej aerodinamik lain yang agresif meningkatkan daya mendap sehingga 15 peratus.
Pakej yang turut merangkumi peresap belakang saiz besar baharu juga menyumbang kepada kecekapan aerodinamik sehingga 10 peratus.
Bersama tayar Michelin Cup 2 baharu, pembelokan kurang (understeer) secara keseluruhan turun 10 peratus dan cengkaman lateral (sisi) naik lima peratus.
Sifir pada Nevera R berjaya menjimatkan masa di Litar Pengendalian Nardo sebanyak 3.8 saat.
Pengendalian di selekoh lebih tajam dan kemas hasil sistem All-Wheel Torque Vectoring (R-AWTV) yang ditala semula bagi memaksimumkan potensi tayar baharu.
Daya mendap lebih tinggi menyumbang kepada kestabilan dan prestasi lateral yang lebih baik.
Sistem kawalan cengkaman juga disemak semula bagi mengembangkan keupayaan R-AWTV untuk pemanduan boleh jangka walaupun dalam keadaan basah.
Mod drift telah dilaras untuk menyesuaikannya dengan tayar baharu dan sistem stereng diperhalusi bagi memberi tindak balas lebih tajam dan baik kepada pemandu.
Brek EVO2 karbon seramik dengan lapisan matrik silikon memastikan prestasi henti dan penyejukan lebih baik serta ketahanan semasa pemanduan berprestasi.
Pek bateri Nevera R mempunyai kapasiti 108 kilowatt-jam (kWj) dan lebih rendah berbanding 120 kWj pada Nevera.
Kuasa dari empat motor elektrik ditingkatkan dari 1,914 ps kepada 2,107 ps. Dinamika pecutan juga berbeza.
Prestasi pecutan Nevera R dan Nevera:
- Kelajuan tertinggi: 412 km/j
- 0 - 100 km/j: 1.81 saat
- 0 - 200 km/j: 4.38 saat (4.42 saat)
- 0 - 300 km/j: 8.66 saat (9.22 saat)
- 1/4 batu: 8.23 saat
Kepada yang berkenan, Rimac Nevera R dibuat sebanyak 40 buah sahaja dan ditolak daripada 150 buah Nevera.
Penulis: Muhamma Md Tajudin