Di pasaran UK, lain pula halnya.
Para pemilik model Land Rover Range Rover kini berdepan kesukaran untuk mencari perlindungan insurans bagi kenderaan mereka disebabkan model tersebut dikategorikan sebagai kereta yang paling kerap dicuri pada tahun 2022.
Ini mengakibatkan banyak syarikat pembekal insurans tidak lagi menawarkan perlindungan terhadap SUV mewah tersebut, malah Land Rover sendiri tidak lagi menawarkan insurans untuk kebanyakan modelnya berdasarkan info di dalam laman web rasmi.

Salah seorang pemilik Range Rover, Dan Adler memberitahu Autocar, beliau kini mengalami kesukaran untuk membeli insurans Range Rover P440e Autobiography yang ditempahnya 12 bulan yang lalu.
Pakar pelaburan yang tinggal di North London itu mendakwa, syarikat insurans yang digunakan olehnya untuk empat buah model kereta termasuk sebuah kereta klasik tidak lagi mahu menawarkan perlindungan terhadap model Range Rover.
Tambahnya, sebuah lagi syarikat mengenakan premium tambahan berjumlah £6,000 (RM32,408) menjadikan jumlah keseluruhan yang perlu dibayarnya menjadi l £11,000 (RM59,415).

Pengarah Saxon Insurans, Samuel Cise mendakwa beliau diberikan sebut harga berjumlah £20,000 dan £38,000 untuk sebuah lagi model Range Rover yang bernilai kira-kira £50,000 yang didaftarkan di London.
Dalam pada itu, Neil Thomas, pengarah perkhidmatan penyiasatan di AX memberitahu Autocar, Range Rover kini merupakan sasaran yang paling menguntungkan di kalangan pencuri.
"Masalah dengan Range Rover bukanlah sistem keselamatan mereka, akan tetapi populariti yang tinggi di sini serta di luar negara.
"Golongan ini tahu akan nilainya yang sangat baik, dan mereka sanggup melabur bagi mendapatkan teknologi yang bersesuaian untuk membawa lari kereta tersebut.
Sumber: Autocar