
Basikal Elektrik Dengan Teknologi “Pedal-By-Wire”
TM-B bukan sekadar e-bike biasa. Ia direka dengan sistem pedal-by-wire, bermaksud kayuhan pedal tidak terus memacu roda belakang. Sebaliknya, tenaga kayuhan akan menjana generator kecil yang menghantar kuasa elektrik ke motor utama. Sistem ini membolehkan rekaan lebih kompak, senyap, dan efisien tanpa rantai konvensional.

Blok besar di bahagian bawah rangka menempatkan bateri, generator, serta sistem pedal-by-wire ini, menjadikannya seolah-olah “teras” kepada keseluruhan struktur TM-B. Reka bentuknya tahan cuaca dan padat, sesuai untuk kegunaan di bandar mahupun laluan mencabar.

Pilihan Konfigurasi Dan Varian
Also menawarkan beberapa konfigurasi untuk TM-B:
-
Pilihan tempat duduk modular – pembeli boleh memilih tempat duduk kecil atau besar, serta menukar kepada versi kargo atau bangku gaya motosikal.
-
Pakej All-Terrain (AT) – dilengkapi tayar knobby Kenda dan dua mod pemanduan tambahan (tambahan harga USD 200 atau kira-kira RM 845).
-
Pakej Street – menggunakan tayar licin untuk tunggangan bandar.

Suspensi penuh dengan jarak perjalanan 120 mm memberi keselesaan di permukaan tidak rata, manakala brek regeneratif dengan ABS membantu menambah semula tenaga ke bateri dan meningkatkan keselamatan. TM-B turut mempunyai sistem auto-lock yang mengunci roda belakang, bateri dan rangka bagi mencegah kecurian.

Ciri Digital Dan Prestasi
Di bahagian kokpit, terdapat skrin sentuh lima inci dengan bezel boleh putar untuk paparan data tunggangan, navigasi GPS dan tetapan mod. Menariknya, TM-B menawarkan tiga profil tunggangan berbeza bergantung kepada keperluan pengguna.

Menurut Also, TM-B mampu menawarkan jarak antara 97 hingga 161 km dengan tork maksimum 180 Nm, serta had beban 147 kg bagi model spesifikasi tinggi.

Harga Dan Sasaran Pasaran
Model asas TM-B dijangka dijual pada harga bawah USD 4,000 (sekitar RM 16,900), manakala edisi pelancaran (Launch Edition) bermula pada USD 4,500 (sekitar RM 19,000) sebelum pilihan tambahan. Harga ini dianggap kompetitif berbanding e-bike premium lain di pasaran, meskipun reka bentuk dan konsepnya yang radikal mungkin lebih menarik minat pengguna kasual berbanding penunggang basikal tegar.

Walaupun masih belum jelas di mana ia akan diproduksi atau bila penghantaran akan bermula, minat terhadap TM-B dilaporkan tinggi, menandakan potensi baharu Rivian untuk memperluas ekosistem mobiliti elektriknya ke segmen dua roda.
Sumber: Carscoops