Walau bagaimanapun beliau berkata KKR menyedari akan kekangan kewangan yang dihadapi kerajaan ketika ini.
Justeru Fadillah berkata pihaknya akan mengemukakan Kertas Kabinet bagi mencari penyelesaian lebih konkrit ke atas jalan-jalan rosak berkenaan yang perlu dibaik pulih semula.
“Istilahnya yang kita panggil 'backlog', jalan-jalan yang sudah tarikh hayatnya patut dibaru muka, diperbaharui, di reconstruct. Sebab tempoh hayat jalan ini biasanya bila kita buat jalan, tiap lima atau tujuh tahun dia kena dibuat semula.
“Tetapi dalam keadaan jalan yang lebih daripada itu kalau kita tak buat maknanya base dia dah tak mampu untuk menanggung apatah lagi yang 40 tahun dulu dibuat berdasarkan standard yang lama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri taklimat lawatan kerja ke laluan Persekutuan daerah Hulu Perak di Dewan Persidangan Gerik, di sini pada Isnin.
Hadir sama dalam taklimat tersebut, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Selain itu, Fadillah memberitahu kesemua jalan Persekutuan dijangka akan siap dibaik pulih menjelang tahun hadapan.
Pada masa sama beliau berkata sejumlah RM68 juta diperlukan bagi membina semula jalan baharu di laluan FT004 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dari Gerik ke Jeli, Kelantan.
Menurutnya, sebagai langkah jangka masa pendek, kerja-kerja penurapan sementara laluan itu akan dilakukan segera bermula Sabtu ini.
Laluan Persekutuan FT004 itu adalah jalan utama Timur-Barat di zon utara Malaysia yang menghubungkan tiga negeri bermula di Kulim, Kedah melalui Gerik, Perak dan berakhir di Pasir Puteh, Kelantan dengan jarak keseluruhan jalan adalah 291.99 kilometer.
Antara jenis kerosakan jalan dikenal pasti adalah seperti kerosakan pada permukaan jalan, garisan cat jalan pudar, kerosakan lampu jalan serta kerosakan longkang yang mengakibatkan air bertakung.