Suatu ketika dahulu, RM50,000 membolehkan kita membeli pelbagai jenis kenderaan.
Namun begitu, selepas pemimpin negara membuat keputusan untuk menggunakan automotif sebagai landasan negara menjadi negara industri, perspektif nilai RM50,000 dalam dunia kenderaan terus bertukar.
Terbaca akan sebuah artikel dari rakan kami di TopGear Malaysia yang membincangkan apakah kenderaan yang kita dapat miliki dengan nilai RM50,000, Careta terfikir ia adalah satu artikel yang menarik.
Di bawah ialah senarai kenderaan-kenderaan yang Careta rasa menarik yang anda boleh beli dengan nilai RM50,000.
Proton Saga 1.3L (baharu)
Bermula dari RM35,600 hingga RM44,400, Saga ialah sebuah sedan hasil rekaan dan buatan Proton yang luas, ciri-ciri keselamatan yang memadai dan pengendalian yang menjadikan ia selesa untuk dipandu di dalam dan di luar bandar.
Proton Persona 1.6L (baharu)
Sebuah sedan yang lebih besar dan lebih mewah dari Saga.
Juga direka dan dibuat sepenuhnya oleh anak tempatan, Persona mempunyai sistem transmisi CVT yang diperbaiki dan kadar bunyi kabin yang jauh lebih rendah dari model sebelumnya.
Paling penting, ia datang dengan boot yang besar dan pengendalian yang sangat selesa.
Bajet RM50,000 membolehkan anda mendapat Persona varian 1.6L Standard Manual Solid dari harga RM44,800 sehingga RM48,200 untuk model 1.6L Standard CVT Metalik.
Cuba pandu uji dan anda akan tahu apa maksudnya keselesaan.
Proton Iriz 1.3L (baharu)
Kereta kompak Proton ini menampilkan ciri-ciri Eropah dengan pengendalian yang sangat meyakinkan.
Model update ini jauh lebih senyap dan lebih selesa dari model sebelumnya. Sistem CVT juga diperbaiki dan jauh berbeza dari varian pertama.
Dari harga RM42,400 untuk 1.3L Standard Manual sehingga RM49,200 untuk model 1.3L Executive CVT, anda perlu memandu uji Iriz baharu ini untuk anda faham apa maksud pengendalian yang meyakinkan.
Perodua Bezza (baharu)
Sedan dengan rekabentuk badan yang dihasilkan oleh jurutera tempatan, sedan kompak dan efisen ini bermula dari harga RM36,000.
Untuk belian praktikal dan mahukan penjimatan bahan api serta boot yang sangat luas, ini ialah sedannya. Paling sesuai untuk pemanduan urban dan dekat.
Perodua Axia (baharu)
Kereta paling mampu milik Asean ini bermula dari harga RM24,000.
Ini bermakna Perodua mengekalkan harga lama sejak ia mula dilancarkan hampir 30 tahun dahulu tetapi berbanding dengan Kancil, Axia jauh lebih besar,lebih selesa, lebih menjimatkan dan lebih selamat.
Perodua Myvi (baharu)
Sudah terlalu banyak dikatakan tentang Myvi baharu ini. Ia tidak selaju Porsche, ia tidak sehebat Alfa Romeo tetapi ia adalah belian khusus untuk mereka yang perlukan sebuah kenderaan yang tidak banyak karenah. Myvi bermula dari harga RM44,300.
Untuk mereka yang tidak mahukan kenderaan baharu, Careta masuk ke laman web Mudah.my dan mencari kenderaan-kenderaan terpakai yang berusia lima tahun atau kurang dan berharga di bawah RM50,000.
Ini adalah antara yang Careta rasa berbaloi untuk difikirkan.
Kia Forte 1.6 (A) tahun 2012 terpakai
Model yang menghidupkan jenama Kia dan membuktikan mereka bukan lagi cap ayam seperti yang dicemuh, Forte bukti Kia memang mampu menghasilkan sesuatu yang menarik.
Harga yang Careta nampak untuk model dan tahun itu ialah dari RM33,000.
Hyundai Elantara 1.6L (A) terpakai
Lengkap dengan fungsi butang push/start serta transmisi Tiptronic, Careta nampak ada unit yang berharga dari RM45,999 untuk unit tahun 2014.
Proton Inspira terpakai
Inspira sememangnya ialah sebuah Lancer dengan logo-logo Proton. Sedan yang besar, luas dan bertenaga, ia juga mempunyai rekabentuk yang menarik. Pilihan Careta ialah model 1.8E dengan transmisi manual, tapi ramai "peminat kereta" sekarang tidak faham apa fungsi pedal klac. Sayang.
Toyota Vios 1.5 (A) terpakai
Popular di kalangan yang mahukan sebuah sedan Jepun yang mampu milik, Vios memang terbukti lasak dan menjimatkan.
Honda City 1.5 LE (A) terpakai
Seteru utama Vios, City memberikan prestasi yang lebih sporti dan juga bentuk yang lebih dinamik. Prestasi iVTEC juga menarik perhatian peminat kereta.
Nissan Almera 1.5L (A) terpakai
Sedan mampu milik dari sedan ini memang luas kabinnya.
Paling menarik, model ini mampu dilanyak dan Careta rasa ia adalah sebuah belian praktikal untuk keluarga baharu.
Nissan Sylphy 2.0 Premium Spec terpakai
Untuk model Sylphy tahun 2012, nilainya memang dibawah RM50,000. Enjin yang berkuasa, transmisi yang lancar dan paling penting, sistem gantungan yang sangat selesa. Tempat duduk Sylphy juga empuk seperti sebuah kerusi sofa!
Mazda3 1.6L (A) Premium terpakai
Antara sedan yang mempunyai pengendalian yang baik, Mazda3 tahun 2012 boleh dibeli pada harga RM34,999 bagi unit tahun 2012, bermakna pemilik pertama telah menanggung kerugian turun harga yang banyak kerana harganya tidak akan turun banyak lagi dari sekarang.
Volkswagen Vento 1.6L terpakai
Unit terpakai ini memang bercirikan kenderaan Continental dan memang menarik.
Unit tahun 2016 yang Careta jumpa, ia berharga sebanyak RM48,888.
Yang pasti, ia lihat seperti sebuah kereta berharga dua kali gandar harga sebenarnya dan walaupun ada yang berkata jenama ini bermasalah, model Vento menggunakan teknologi terbukti dan ringkas dan tidak mendatangkan banyak masalah.
Nissan Teana 200 XE Luxury (A) terpakai
Sedan segmen D yang sangat selesa ini memberikan nilai yang terbaik.
Unit 2012 yang Careta jumpa di dalam Mudah.my berharga RM49,800.
Siap ada fungsi Push/Start ya!
Nissan Livina X-Gear 1.6L (A) terpakai
Model crossover ringkas hasil mencantas badan Grand Livina, ia adalah sebuah kenderaan yang stylo, ringkas dan tidak banyak karenah.
Bootnya juga antara terbesar di dalam pasaran cuma rodanya perlu diberi perhatian kerana ia nampak terlalu kurus keding.