Ia dibangun berdasarkan model Rolls-Royce Wraith coupe, dan disasarkan untuk golongan pembeli muda yang mahu beralih kepada jenama mewah tersebut.
Biarpun mempunyai ciri yang hampir sama dengan model Wraith dan Ghost sedan, Rolls-Royce mendakwa 80 peratus panel badan Dawn adalah unik sepenuhnya.
Kesenyapan dan keselesaan merupakan ciri utama model Dawn.
Dengan penekanan terhadap aspek aerodinamik serta penggunaan bumbung fabrik serta campuran bahan yang lain yang mampu menapis bunyi, Dawn secara tidak langsung menjadi model convertible yang paling senyap di dunia.
Rolls-Royce Dawn juga sangat selesa, sehinggakan seorang wartawan tidak sedar berlakunya gegaran gempa bumi berukuran 3.6 pada skala Richter semasa beliau memandu convertible tersebut.
Semasa mula diperkenalkan, Dawn dikuasakan oleh nadi V12 6.6 liter turbo berkembar dengan hamburan kuasa 563 hp @ 5,250 rpm dan daya kilas 820 Nm @ 1,500 rpm.
Sementara versi Black Badge pula tampil dengan talaan 593 hp @ 5,250 rpm dan daya kilas 841 Nm @ 1,500 rpm.
Untuk masa depan, Rolls-Royce sedang membangunkan model coupe berkuasa elektrik Spectre, namun tidak diketahui sama ada model tersebut bakal menampilkan versi convertible ataupun tidak.