Rolls-Royce klasik diubah jadi kereta elektrik, harga lebih RM2.7 juta!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Rolls-Royce
Rolls-Royce
Dunia kereta elektrik nampaknya tidak sahaja mengenai kereta baharu tetapi juga kereta klasik. Bukan setakat kereta klasik apabila sebuah Rolls-Royce Phantom V tahun 1961 berjaya diubah suai menggunakan rangkaian kuasa elektrik.

Kerja rekayasa semula (reengineering) tersebut dilakukan oleh Lunaz dari Silverstone, England. Ini adalah jenama ketiga yang berjaya disiapkan selepas Jaguar dan Bentley.

Lunaz sebenarnya baru ditubuhkan iaitu pada awal 2018 namun mempunyai pasukan kerja yang hebat.

Di antaranya ialah pekerja yang mempunyai pengalaman berkhidmat dengan Aston Martin, Ferrari, Ford, Formula 1, Jaguar, Volkswagen, McLaren dan Rolls-Royce.

Rolls-Royce Phantoms by Lunaz telah menjalani proses baik pulih dari asas termasuk penyesuaian rangkaian kuasa elektrik Lunaz dan naik taraf perkakasan dan perisian.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
Rolls-Royce EV Lunaz

 

Projek ini bukan setakat sekali sahaja (one-off) malah ditawarkan secara terhad kepada pelanggan yang berminat.

Satu perkara mengenai Rolls-Royce apabila ia dibina untuk berjalan dengan senyap dan penghantaran kuasa yang lancar seakan dipandu menggunakan gear berterusan.

Penukaran kepada rangkaian kuasa elektrik mengiyakan lagi karakter tersebut. 

Dari segi teknikal, Rolls-Royce Phantoms by Lunaz dibekalkan pek bateri 120 kWh dan boleh dipandu lebih 482 kilometer.

Setiap kereta yang disiapkan oleh Lunaz akan menjalani proses pemuliharaan menyeluruh dengan komponen ditanggalkan sehingga tinggal besi.

 

Rolls-Royce EV Lunaz

 

Ia kemudian akan diimbas secara tiga dimensi, ditimbang dan dibaik pulih sepenuhnya sebelum proses penukaran dan rekayasa semula dilakukan.

Proses itu membolehkan para pelanggan untuk menambah idea dan teknologi yang mereka mahu dibawah panduan Pengarah Reka Bentuk Lunaz, Jen Holloway.

Pada bahagian luar, Rolls-Royce Phantom V by Lunaz menggunakan skema warna dua tona iaitu Midland Grey di sebelah atas dan Cinereous Greydi di bawah.

Satu ciri menarik pada Rolls-Royce Phantom V by Lunaz ialah telefon jenis bakelite (telefon jenis nombor berputar klasik) dikekalkan dan dinaik taraf dengan teknologi moden telefon selular.

Rolls-Royce Phantom V by Lunaz mempunyai lapan tempat duduk dengan tiga di hadapan, tiga di kerusi belakang dan dua kerusi jenis boleh lipat.

 

Rolls-Royce EV Lunaz

 

Mengekalkan karakter asal adalah penting untuk kereta sebegini. Perincian yang dibuat termasuk penelitian peralatan suis (switchgear) yang direkayasa supaya dapat mengoperasikan rangkaian kuasa baharu mengikut tindak balas haptik sama seperti asal.

Meter pada papan pemuka turut membawa pengaruh rekaan 60-an selain integrasi meter jarak bateri dan tolok kuasa.

Dari segi pembekalan kuasa, setiap kereta yang dikeluarkan Lunaz dilengkapi keupayaan untuk pengecasan di rumah dan pengecasan pantas.

 

Rolls-Royce EV Lunaz

 

Pengeluaran kumpulan pertama kenderaan Rolls-Royce cars by Lunaz (turut ditawarkan ialah Rolls-Royce Silver Cloud by Lunaz) dihadkan kepada 30 unit sahaja.

Setiap Rolls-Royce elektrik yang dikeluarkan Lunaz ditawarkan di peringkat antarabangsa dan pembahagian unit hanya boleh disahkan melalui perhubungan terus dengan Lunaz.

Harga untuk Rolls-Royce Phantom by Lunaz bermula dari £500,000 (RM2,736,838) tidak termasuk cukai setempat.

Jumlah itu dilihat berpadanan untuk sebuah Rolls-Royce yang ikonik dan bernadikan teknologi canggih.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Rolls-Royce EV Lunaz