Rolls-Royce Phantom II diubah jadi EV oleh Electrogenic, enjin 7.7 liter ganti dengan motor elektrik!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Electrogenic Rolls-Royce Phantom II
Electrogenic Rolls-Royce Phantom II
Sebelum ini Careta pernah memaparkan projek kereta klasik yang diubahsuai oleh Electrogenic menjadi kenderaan elektrik (EV).

Di antaranya Citroen DS dan Porsche 911 dan kali ini lebih luar biasa kerana melibatkan sebuah Rolls-Royce Phantom II tahun 1929!

Projek ini diminta oleh seorang pengumpul persendirian yang cintakan alam sekitar. Dikeluarkan dari tahun 1920 hingga 1935, sebanyak 1,681 Phantom II dikeluarkan.

Phantom II dengan badan yang dibina oleh HJ Mulliner & Co digerakkan enjin 7.7 liter bentangan sebaris enam silinder dan menghasilkan 40 hingga 50 kuasa kuda (hp).
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Electrogenic Rolls-Royce Phantom II

 

Enjin itu dipadan bersama transmisi manual empat kelajuan dan boleh dipecut melebihi 128 kilometer sejam (km/j). 

Rangkaian kuasa asal diganti pakej elektrik yang terdiri daripada bateri 93 kilowatt-jam (kWj) dan dipasang pada struktur asal kereta.

Bateri membekal tenaga kepada motor elektrik yang dipasang di antara rel casis dan dipadan dengan transmisi satu kelajuan pacuan terus buatan khas.

Jauh lebih berkuasa, pakej itu menghasilkan 150kW dan tork 310Nm dan dihantar kepada gear pengurangan kekal dan memberikan 1,000Nm kepada aci pacuan.

 

Electrogenic Rolls-Royce Phantom II

 

Sistem kereta dihubungkan dan diuruskan perisian yang dibangunkan khas oleh jurutera perisian Electrogenic.

Sama seperti projek lain, konfigurasi bateri dibuat khas untuk model ini dan dipasang pada seni bina asal dan tiada pengubahsuaian dibuat pada struktur kereta.

Proses tersebut melibatkan pengimbasan tiga dimensi struktur kereta sebelum tetapan bateri dibuat menggunakan perisian reka bentuk berbantu komputer.

Sesuai dengan era vintaj, penutup bateri direka dengan cantik oleh Electrogenic dan dibuat oleh juruteknik di Auto Historica dan gabungan Heritage Skills Academy di Bicester Heritage.

 

Electrogenic Rolls-Royce Phantom II

 

Pusat pendidikan itu merupakan tempat pembelajaran perantis Electrogenic bagi membina kemahiran dalam industri warisan.

Di antara cabaran utama yang dihadapi ialah sistem pengaliran bendalir dan sistem kawalan mekanikal.

Turut mencabar ialah kerja-kerja merekabentuk semula sistem pembrekan dan ruang pedal dan tuil brek di bawah dinding sekat (bulkhead) yang diguna untuk pek bateri.

Cabaran tersebut dijayakan dengan reka bentuk, lokasi pemasangan dan perkakasan baharu. 

 

Electrogenic Rolls-Royce Phantom II

 

Ada juga perkakasan asal digunakan seperti penggerak (actuator), tuil dan kabel brek. Electrogenic memastikan teknologi lama dan baharu berfungsi secara harmoni.

Sebagai contoh, nisbah asal sistem pengimbangan mekanikal dikekalkan susulan penggunaan perkakasan brek yang dinyatakan.

Sebagai sebuah EV, sistem brek dikalibrasi supaya dapat diguna bersama fungsi regeneratif.

Pada bahagian dalam, perkakasan asal diubah suai sebagai contoh tolok petrol dijadikan meter LED untuk status pengecasan dan meter ampere menjadi bacaan kuasa.

 

Electrogenic Rolls-Royce Phantom II

 

Tolok suhu minyak memaparkan suhu pengecas dan tolok suhu air menunjukkan bacaan suhu motor elektrik.

Proses pemodenan juga melibatkan sistem pembesar suara HiFi premium dengan subwufer dipasang di bawah kerusi belakang dan sambungan Bluetooth.

Walaupun moden, perkakasan tersebut terlindung dari pandangan mata.

Dari segi pengendalian, Electrogenic memaklumkan karakter asal sebuah Rolls-Royce masih dikekalkan dan mempunyai pemanduan yang lebih baik.

 

Electrogenic Rolls-Royce Phantom II


Phantom II EV ini boleh dipandu sejauh 241 kilometer (km) dan dilengkapi mod pemanduan Drive, Eco dan menariknya Sport!

Secara keseluruhan, projek yang rumit ini memakan masa lebih 18 bulan untuk disiapkan.

Satu lagi yang perlu diketahui, pengubahsuaian yang dibuat boleh dikembalikan kepada keadaan asal. 

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Electrogenic Rolls-Royce Phantom II