Ujian tersebut dijalankan di fasiliti Arjeplog, Sweden kira-kira 55 km jauhnya daripada Arctic Circle dengan suhu yang mampu mencecah sehingga negatif 40 darjah.
Biarpun masih lagi memakai pelekat samaran yang hampir sama semasa pengenalan kali pertama, Rolls-Royce Spectre sudah pun mula menunjukkan butiran terperinci, seperti rekaan lampu utama terpisah, hiasan hud Spirit of Ecstasy yang direka semula, serta kehadiran unit diffuser belakang.
Rolls-Royce Spectre juga merupakan model pertama sejak tahun 1926 yang didatangkan dengan rim bersaiz 23 inci.
Rekaan bentuk badan coupe ini membolehkan Spectre elektrik ini mencapai angka kadar pekali seretan serendah 0.26 sahaja.
Bukan itu sahaja, Rolls-Royce Spectre yang dibangunkan atas pelantar Architecture of Luxury ini merupakan model Rolls-Royce yang paling terhubung, dengan kira-kira 141,200 hubungan komunikasi, lebih daripada 1,000 fungsi dan 25,000 sub-fungsi yang disediakan, berbanding 51,000 hubungan komunikasi, 456 fungsi dan 647 sub-fungsi yang terdapat pada model Phantom.
Disebabkan itu, Rolls-Royce Spectre memerlukan jaringan kabel sepanjang sehingga tujuh kilometer berbanding 2 km yang diperlukan pada model sedia ada, dengan 25 kali lebih banyak algoritma diperlukan untuk kawalan yang lebih terperinci terhadap sistem seperti trenkuasa dan casis.
Selain itu, rekaan dan posisi bateri juga turut menyumbang kepada pengalaman pemanduan di dalam sebuah Roll-Royce yang sebenar.
Dengan mencipta saluran pendawaian di antara lantai kenderaan dan bateri, pek bateri seberat 700 kg itu kini mempunyai fungsi kedua - sebagai alat penebat bunyi!
Rolls-Royce Spectre masih lagi perlu melengkapkan hampir dua juta kilometer ujian pemanduan sebelum penghantaran pertama Super Coupe berkuasa elektrik ini dibuat kepada pelanggan pada suku keempat tahun 2023.