Roush perlihat jentera Mustang 2021 dengan modifikasi Stage 3 - 775 hp, 908 Nm, 0-96 kmsj 3.6 saat!

oleh Mohamad Hanif|
Syarikat penala terkenal dari Amerika Syarikat yang mahir menghasilkan komponen berprestasi tinggi kini hadir dengan Ford Mustang 2021 yang telah menerima modifikasi Stage 3, dan disifatkan sebagai versi paling berkuasa pernah dihasilkan.

Pakej yang ditawarkan ini lengkap dengan jaminan pengeluar selama tiga tahun atau 57,936 km dari bampar ke bampar, serta jaminan trenkuasa selama lima tahun atau jarak perbatuan 95,561 km.

 

 


Ia didatangkan dengan enjin bentangan V8 berkapasiti 5.0 liter dengan bantuan pengecas lampau yang menghasilkan 750 kuasa kuda dan daya kilas 908 Nm yang boleh dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan atau automatik 10 nisbah kelajuan.

Dari segi pecutan, Mustang Stage 3 Roush ini mampu memecut sepantas 3.6 saat dari 0-96 km/j, serta menghabiskan pecutan suku batu dalam 11.2 saat.

Tak cukup? Roush turut menawarkan naiktaraf kuasa kepada 775 kuasa kuda!

 


Untuk menampung kuasa tersebut, Mustang tersebut menampilkan sistem suspensi MagneRide yang dikalibrasi sendiri oleh Roush, dikatakan menawarkan pengendalian yang lebih jitu tanpa mengorbankan keselesaan pemanduan seharian.

Selain daripada itu, terdapat pakej penyejukan trenkuasa yang terdiri daripada radiator yang besar, penyejukan tambahan untuk bahagian transmisi dan diff belakang, serta fungsi penyejukan sisi litar yang akan menghidupkan kipas dan pam intercooler selepas enjin dimatikan.

 


Di bahagian luar, jentera muscle ini dilengkapi dengan kit badan aerodinamik yang terdiri daripada splitter hadapan, hud hadapan berventilasi, liang pada fender hadapan, dan sistem ekzos sporti yang diakhiri dengan empat tip.

Keempat-empat sudut dipasang dengan rim Flowform bersaiz 20 inci yang dibaluti getah Continental ExtremeContact.

 


Walaupun bertaraf kereta berprestasi tinggi, aspek keselesaan tidak pernah diketepikan, di mana Mustang Roush ini tampil dengan tempat duduk kulit premium, plet ambang pintu beriluminasi, meter tambahan, lencana bersiri dan tombol gear/paddle shifter kustom.

Roush turut menawarkan beberapa opsyen seperti sistem ekzos aktif yang membolehkan pemandu mengubah tona dan volum runut bunyi yang dihasilkan menerusi aplikasi iOS atau dial kustom yang menawarkan mod Touring, Sport, Track dan Custom pada konsol.

 


Selain daripada itu, terdapat juga pakej podium yang menambah sayap belakang aerodinamik aktif daripada gentian karbon yang mampu menghasilkan 2.5 kali lebih daya turun berbanding spoiler belakang standard, selain daripada sistem brek Brembo, ekzos aktif, lug nuts kekunci, pelindung kereta serta pakej hiasan ruang enjin.

Roush Stage 3 Mustang ini sudah boleh ditempah dan harga pakej itu sahaja bermula dari $24,995 (RM101,042) tidak termasuk harga sebuah Ford Mustang!

 

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Berdasarkan spesifikasi asas, enjin V8 tersebut mampu untuk menghamburkan 454 kuasa kuda dan 556 Nm…
Berita Global
Manakan tidaknya, sebuah syarikat penala Roush mendakwa trak pikap talaan mereka, Nitemare F-150…
Gaya Hidup
Bermula daripada talaan kepada bahagian nadi enjin, sistem suspensi, sehinggalah kepada kit badan…