Royal Enfield Himalayan 2024 kini hadir dengan beberapa perubahan besar yang menjadikannya antara sebuah jentera dual-purpose terbaik dalam pasaran.
Tiada lagi nadi sejukan udara, Himalayan 2024 dikuasakan nadi satu silinder 452cc sejukan cecair serba baharu, dipadankan dengan transmisi 6 kelajuan yang kini menghasilkan 40 HP dan 40 Nm
Enjin baharu itu juga dipasangkan pada casis yang direka bentuk semula untuk memberikan tunggangan off-road dengan kestabilan optimum.
Sistem gantungan juga dinaik taraf di mana ia kini menggunakan fork hadapan USD Showa SFF 43 mm dan penyerap hentak tunggal Showa di belakang, menawarkan jarak pergerakan suspensi sehingga 200 mm.
Sistem brek pula dilengkapi dengan rotor brek tunggal 320 mm di depan dengan angkup dua omboh ByBre, diikui rotor 270 mm dan angkup omboh tunggal di bahagian belakang.
Memastikan sebuah tunggangan off-road terbaik, ia turut dilengkapi rim bersaiz 21 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, dengan tayar jenis tiub (tanpa tiub untuk varian Summit dengan warna Kamet White).
Menjadikannya sebuah adventure touring moden, Himalayan 2024 hadir dengan pelbagai ciri bantuan elektronik, termasuk lampu LED penuh, pendikit elektronik (ride-by-wire) dan sistem ABS dua saluran (bahagian belakang boleh dimatikan).
Meningkatkan lagi ciri moden, ia turut dilengkapi panel meter TFT bersaiz 4 inci bersama fungsi ketersambungan dengan telefon pintar yang membolehkan penunggang mengakses fungsi kawalan media dan navigasi.
Khusus untuk penunggang pendek, Himalayan 2024 juga dilengkapi pelana dengan ketinggian boleh laras, bermula serendah 805 mm hingga 846 mm (ketinggian asal 825 mm).
Untuk pasaran Malaysia, Royal Enfield Himalayan 2024 hadir dengan 3 varian dan 5 pilihan warna:
- Base - Kaza Brown (RM30,600)
- Pass - Slate Himalayan Salt (RM31,100)
- Pass - Slate Poppy Blue (RM31,100)
- Summit - Hanle Black (RM31,500)
- Summit (Tubeless) - Kamet White (RM32,200)
Setiap pembelian Royal Enfield Himalayan 2024 juga didatangkan dengan 3 tahun waranti, 3 tahun bantuan tepi jalan dan 3 tahun servis percuma.
Baca: Tunggang Uji - Royal Enfield Himalayan 2024