Ingatkah anda kepada jentera rali klasik Porsche 911 Safari dengan tayar off-road dan ketinggian tak macam kereta sports itu?
RUF Automobile cuba membawakan kenangan zaman silam tersebut dengan sebuah jentera retro-moden RUF Rodeo Concept, sebuah kereta dengan sistem pacuan semua roda dan suspensi yang dinaikkan ketinggiannya.
Ia membawakan rangka monocoque gentian karbon yang sama seperti jentera CTR Anniversary dan SCR yang ternyata ringan dan kukuh, malah turut juga dipasang dengan sangkar keselamatan secara siap dari kilang.
RUF selaku pemasang kenderaan yang berdaftar memang banyak mengambil inspirasi daripada jentera asal Porsche, termasuklah Rodeo Concept ini yang menampilkan lampu kabus bulat yang dipasang di atas hud hadapan dan dilindungi dengan gril keluli.
Ruang kabin pula tidak digambarkan secara penuh, selain memaparkan tempat duduk dengan motif yang diinspirasikan daripada puak natif American Southwestern dan sepasang but cowboy dengan logo Rodeo didatangkan sekali dengan pembelian.
Walaupun Rodeo Concept sekadar berstatus konsep pada masa ini, namun tidak mustahil untuk pihak RUF merealisasikannya menjadi sebuah model produksi.