RXZ atau Skuter? Ini Pandangan Ustaz Azhar Idrus Buat Anak Muda

oleh Qalif Latif|
Dalam satu ceramah santai bersama anak muda di program Tenda Moreh D’Gadung, pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus menjawab satu soalan ringkas tetapi relevan: motor apa yang lebih sesuai dibeli oleh anak muda RXZ atau skuter?

UAI menyatakan bahawa motosikal seperti Yamaha RXZ bukanlah pilihan terbaik untuk mereka yang baru mula menunggang. Model dua lejang itu lebih sesuai dimiliki sebagai koleksi, bukan untuk kegunaan harian.

“Kalau nak pakai hari-hari, nak ulang-alik kerja atau belajar, jangan beli RXZ. Itu motor untuk collector. Untuk hujung minggu, boleh,” katanya.

RXZ

Sebaliknya, beliau mencadangkan skuter sebagai pilihan lebih praktikal. Skuter lebih mudah dikendalikan, tidak memerlukan pertukaran gear, dan sesuai digunakan oleh semua lapisan umur termasuk orang tua, pelajar dan suri rumah.

“Skuter ni duduk, jalan. Tak payah fikir clutch, gear. Senang. Tok bilal pun boleh bawa,” selorohnya.

Dalam ceramah sama, beliau turut berkongsi kisah inspirasi tentang seorang rakyat Malaysia yang menunggang motosikal kapcai jenis Kriss mengelilingi benua Afrika, membuktikan bahawa kuasa enjin bukan segalanya. Katanya, motor biasa pun boleh pergi jauh asalkan ada niat dan usaha.

Tambah beliau lagi, apa jua kenderaan yang dimiliki sepatutnya digunakan untuk tujuan bermanfaat. Jika dibeli semata-mata untuk menunjuk atau bermegah, ia tidak memberi nilai di sisi agama.

“Motor ni alat. Kalau guna untuk benda baik, dengan niat kerana Allah, boleh jadi ibadah. Tapi kalau beli sebab nak menunjuk, tak ada nilai apa,” jelas UAI.

Skuter

Beliau menutup ceramah dengan menyeru anak muda agar sentiasa menilai niat dalam setiap tindakan, termasuk dalam soal membeli dan menggunakan kenderaan.

Sumber: Ustaz Azhar Idrus Official - YouTube

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Antara kelab-kelab yang hadir memberi sambutan ialah Geng 3 Diamond Members (Evo) TDM, ProSift Saga…