10 unit trak Scania P410A6x2NA yang dimiliki oleh Chemtrax Sdn Bhd merupakan trak spesifikasi ADR (pengangkutan barangan berbahaya) yang dilengkapi dengan ciri ADAS yang merangkumi ciri Amaran Keluar Lorong (LDW) dan Brek Kecemasan Autonomi (AEB).
Selain itu, ia juga dilengkapi dengan ciri beg udara sisi bagi perlindungan pelanggaran tergolek, menjadikan ia trak pertama di Malaysia yang didatangkan dengan ciri seumpama itu.
Ciri ADAS yang melengkapi trak ADR tersebut mampu mengurangkan risiko kemalangan dan kecederaan, selain mengurangkan kekerapan pembaikan infrastruktur yang terjejas akibat kemalangan.

Scania Malaysia turut menyerahkan unit trak R620A6x4NZ kepada Xin Hwa Holdings Berhad.
Syarikat Xin Hwa merupakan antara pelanggan terawal Scania yang menerima trak NTG yang patuh piawaian Euro 5, terima kasih kepada sistem Selective Catalytic Reduction (SCR) yang mampu mengurangkan pelepasan asap, serta ciri Extra High-Pressure Injection (XPI) yang boleh menambah baik prestasi dan kecekapan penggunaan bahan api.

Dalam masa yang sama, Scania turut mempamerkan sebuah bas dua tingkat yang dimiliki oleh Billion Stars Express Sdn Bhd yang mampu menerima suapan bahan api biodiesel B20 hingga B100.
Penggunaan bahan api biodiesel ini sudah pasti mampu mengurangkan emisi global dengan merendahkan pelepasan CO2 ke atmosfera untuk mengekang kesan perubahan iklim.