
Kia memaklumkan Concept EV2 merupakan kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen B dan mempunyai potensi untuk diterima baik.
EV Kia sebelum ini dibangunkan untuk segmen lebih besar dan berada di dalam segmen B memungkinkan harga lebih rendah.
Dari segi rekaan, EV2 membawa gaya dari siri EV lain namun dengan olahan tersendiri.
Rekaannya kemas dan bahagian depan menonjol dengan lampu nyalaan siang (DRL) menegak dan nyalaan singnatur Kia Star Map.

Bahagian sisi dibuat lembut tanpa garis keras dan pendakap badan menyerlahkan sifat lasak dan personaliti yang menarik.
Satu ciri yang menonjol adalah ketiadaan tiang tengah dan bukaan pintu luas jenis suicide.
Rekaan dalaman ringkas dan tenang selain menggunakan bahan mesra alam.
Tempat duduk hadapan boleh ditarik ke belakang sepenuhnya ketika kenderaan diparkir.

Kia belum berkongsi maklumat terperinci dan berdasarkan segmen B tidak salah untuk mengatakan EV2 bakal ditawarkan pada harga mampu milik.
Tidak hanya sekadar konsep, Kia EV2 dijangka memasuki pasaran Eropah dan beberapa wilayah lain pada tahun 2026.
Penulis: Muhammad Md Tajudin