Imej tunggal sedan elektrik Luxeed (kod nama EH3) itu dikongsikan sendiri oleh CEO Huawei Intelligent Automotive Solution BU, Yu Chengdong menerusi laman Weibo di mana beliau menyifatkan sedan tersebut sebagai 'coupe elektrik tulen'.
Dari sudut luaran, ia membawakan bahasa rekaan yang moden, bar LED yang menghubungkan dua unit lampu utama, pemegang pintu tertanam, rim aloi yang sporti, serta sistem brek Brembo.
Selain struktur cermin sisi yang kecil, sedan Luxeed ini turut mempunyai perumah penderia LiDAR pada bahagian bumbung.
Menurut laporan CarNewsChina, Luxeed EH3 bakal dilengkapi dengan Huawei ADS 2.0 yang disokong oleh penderia LiDAR itu tadi, 11 kamera HD, radar 3 mm, dan 12 radar ultrabunyi.
Selain daripada itu, Huawei ADS 2.0 mampu membenarkan pemanduan tanpa input manual sejauh 200 km, selain menyokong fungsi Navigation Cruise Assist (NCA) di bandar dan lebuh raya.
Difahamkan, Luxeed EH3 dibangun menggunakan platform E0X daripada Chery, dengan senibina yang mampu menyokong pengecasan 800 voltan, pek bateri CATL dengan jarak gerak 700 km, sistem suspensi udara dan motor elektrik berkembar dengan sistem pacuan semua roda.
Untuk ruang kabin, sistem infohibur Luxeed EH3 ini menggunakan sistem HarmonyOS 4 dengan cip pemprosesan 8295 Qualcomm, dan boleh disesuaikan dengan mana-mana peranti dan laptop Huawei.
Menurut Yu Chengdong, Luxeed ini akan dilancarkan secara rasmi dalam masa terdekat (Q3 2023), berkemungkinan besar di Chengdu Auto Show pada 25 Ogos ini.
Sumber: CarNewsChina