Segway dedah prototaip Apex H2 berkuasa hidrogen, harga anggaran dari RM45k!

oleh Mohamad Hanif|
Kira-kira tujuh bulan yang lalu, Segway memperlihatkan sebuah model konsep Apex H2, dan nama yang digunakan itu sememangnya mencadangkan ia menggunakan sumber kuasa daripada bahan api hidrogen.

Kini, Segway tampil dengan sebuah model prototaip Apex H2 dengan mengekalkan ciri dan rekaan yang hampir sama dengan model konsep sebelum ini.

Ia termasuklah kanister storan bahan api yang terdedah, posisi bar hendal yang agak radikal,  rekaan panel badan yang futuristik, sehinggalah kepada rekaan lengan ayun sisi tunggal berkembar - satu untuk setiap roda.
 

kosnep
Segway Apex H2 Concept


Namun tidak seperti model konsep yang membawakan tayar slick, model prototaip ini didatangkan dengan tayar yang lebih sesuai digunakan di jalanan.

Dari segi kuasa, Segway menyatakan motosikal hibrid ini mampu menghasilkan kuasa setinggi 80 hp dan berkeupayaan mencapai kelajuan tertinggi 150 km/j.

Dalam laporan terdahulu, Segway mendakwa Apex H2 mampu memecut sepantas 4 saat dari 0-100 km/j namun jarak tunggangan yang mampu dicapai tidak didedahkan buat masa ini.
 

prototype


Menurut laporan, Segway merancang untuk menjual versi produksi Apex H2 sebelum tahun 2023 melabuhkan tirainya, dengan harga jualan bermula dari 69,999 yuan (RM45k).

Meskipun harga tersebut agak murah untuk sebuah superbike, namun persoalan yang bakal timbul adalah kehadiran infrastruktur yang bersesuaian bagi menyokong penggunaan motosikal hidrogen ini.