SEJARAH BMW GS

oleh Penyumbang Rencana 2|
Seperti yang kita tahu, BMW bukan sahaja jenama yang gah dengan pembuatan kereta mewah. Namun, ia juga gah dengan pembuatan motosikal khususnya motosikal berkuasa tinggi.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

Diantara barisan model motosikal mereka, terdapat satu divisi dimana divisi model ini lah yang membuatkan motosikal henama BMW kekal relevan dulu kini dan selamanya.

Divisi tersebut dikenali dengan BMW GS

Nama GS diambil sempena perkataan Gelände/Straße yang bermaksud "Offroad/Road" di dalam bahasa Inggeris. Maksud secara istilahnya adalah ia direka supaya mampu bergerak pada apa sahaja permukaan. Disebabkan itu, pengkelasan BMW GS ini jatuh kepada kelas "Dual-Sport".
 

Herbert Schek


Sejarah BMW GS bermula pada tahun 1978 lagi apabila staf dan juga "Enduro Rider" BMW iaitu Herbert Schek memberikan idea untuk membangunkan sebuah motosikal "Adventure".

Prototaip asal kemudian dibangunkan secara "In-House" oleh barisan jurutera dan mekanik BMW Motorrad sendiri tanpa arahan rasmi dari pihak pengurusan BMW Motorrad. Mereka menggunakan rangka dari model BMW R 80/7 dan menyumbatnya dengan enjin BMW Type 247 yang merupakan enjin "Air-Cooled Boxer Engine" atau lebih dikenali sebagai "Airhead".

Motosikal ini kemudian diuji di kejohanan International Six Days Trial (ISDT) yang merupakan kejohanan "Off Road" tertua di dalam kalendar FIM (Federation Internationale de Motocyclisme)

Prototaip ini kemudian menarik perhatian dan diakui mempunyai karakteristik pemanduan terbaik. Pihak pengurusan BMW Motorrad kemudian memberikan lampu hijau bagi membangunkan motosikal ini untuk dijual kepada umum. 

21 bulan. Ye Tuan-Tuan. Hanya 21 bulan sahaja diperlukan oleh pasukan BMW Motorrad untuk membangunkan motosikal GS pertama mereka iaitu BMW R80 G/S. Motosikal ini dipersembahkan kepada umum pada tahun 1980.
 

GS


Motosikal ini menggunakan enjin "Flat-Twin Boxer" berkapasiti 797.5cc yang mampu menghamburkan kuasa sebanyak 50 hp dan daya kilas sekuat 56 Nm. Kuasa enjin ini kemudian dihantar ke kotak gear 5-kelajuan dan seterusnya ke tayar belakang dengan menggunakan "Shaft".

Sistem gantungan motosikal ini menggunakan "Single Swingarm" pada bahagian belakang atau lebih dikenali dengan sistem "Monolever". Sistem ini dibantu dengan penyerap hentak tunggal yang ditala supaya memberikan pengendalian yang cukup selesa. Berat motosikal ini pula hanyalah seberat 186kg dan ketinggian tempat duduk pula adalah 860mm. Faktor-faktor ini membuatkan motosikal ini mudah dikawal.

Laju? Kelajuan tertinggi direkodkan adalah 167km/j. Y-Suku lagi laju? Ini tahun 1980 Tuan-Tuan. 41 tahun lepas punya cerita. Lagipun ini motosikal "Dual Sport". Motosikal yang sesuai digunakan di atas jalan dan juga di hutan belantara.

Motosikal ini mendapat sambutan hangat di seluruh dunia. Ia diproduksi sebanyak 21,864 unit secara kesuluruhan. Produksinya pula bermula pada tahun 1980 dan berakhir pada tahun 1987. 7 tahun dalam pasaran dan ia menyumbang kira-kira 20% nilai jualan kepada BMW Motorrad.

Setelah melihat kesuksesan model GS ini, pihak BMW Motorrad lebih fokus dalam evolusi dan penambahbaikan divisi GS ini. Hal ini menyumbang kepada pengenalan teknologi serta model baharu.
 

mon
sumber gambar: Motorcyclespecs


Di atas terdapat frasa "Airhead" dan juga "Monolever". "Airhead" bermaksud enjin yang menggunakan sistem sejukan udara manakala "Monolever" pula merujuk kepada sistem "Single Swing Arm".

Produksi model GS yang menggunakan enjin "Airhead" bermula dari tahun 1980 dan berakhir pada tahun 1997. Selama 17 tahun model-model GS ini menggunakan enjin sejukan udara. Terdapat 8 model sepanjang 17 tahun ini yang menggunakan enjin sejukan udara. Variasi model ini pula terbahagi kepada 2 iaitu yang menggunakan sistem "Monolever" dan juga sistem "Paralever". "Paralever" merujuk kepada sistem "Double Swing Arm" berikut merupakan barisan modelnya :-

Monolever
- BMW R80 G/S (1980-1986)
- BMW R80 G/S-PD (1984-1987)
- BMW R65 GS (1987-1990)

Paralever
- BMW R80 GS (1987-1994)
- BMW R100 GS (1987-1994)
- BMW R100 GS-PD (1988-1996)
- BMW R80 GS Basic (1996-1997)
- BMW R80 GS Kalahari (1996-1997)

*PD = Paris Dakar

Melalui barisan model ini juga, kita dapat melihat perbezaan G/S dan GS. Pada tahun 1987, pihak BMW Motorrad memutuskan untuk menukar nama Straße kepada Sport. Sekaligus dijenamakan semula sebagai GS.
 

1100GS
sumber gambar: Wikipedia


Pada tahun 1994, pihak BMW Motorrad melancarkan model R 1100 GS. Model ini merupakan batu loncatan kepada generasi BMW GS kerana ia menggunakan enjin "Flat Twin" baru yang digelar sebagai "Oilhead". Masih mengekalkan sistem sejukan udara, namun ia mempunyai sistem "Oil Cooler" membolehkan minyak enjin dijadikan sebagai medium penyejukan. Bukan itu sahaja, enjin ini juga buat julung kalinya menggunakan sistem 4 injap bagi setiap silinder dan dipacu oleh rantai pemasaan tunggal.

Enjin yang digunakan bersesaran 1,085cc dan mampu menghamburkan kuasa sebanyak 80hp dan daya kilas sekuat 97Nm.

Sistem bahanapi pula menggunakan sistem "Motronic" bagi menggantikan sistem karburetor. Sistem gantungan masih mengekalkan sistem "Paralever" bagi bahagian belakang dan ditambah dengan ciri "Pre-Load Adjustment" pada penyerap hentaknya. Sistem gantungan pada bahagian hadapan menggunakan sistem yang dibina oleh BMW sendiri yang dipanggil "Telelever".

Motosikal ini juga turut popular dimana jumlah produksinya adalah 39,842 unit dari tahun 1994 sehingga 1999.

Bertitik tolak daripada teknologi baru ini, BMW melebarkan barisan modelnya kepada model berikut :-

- BMW R 850 GS (1996-2001)
- BMW R 1150 GS (1999-2004)
- BMW R 1150 GS Adventure (2001-2005)
- BMW R 1200 GS (Bermula tahun 2004)
- BMW R 1200 GS Adventure (Bermula tahun 2006)

Spesikasi kesemua model diatas adalah hampir sama. Perbezaannya adalah dari segi enjin, dan juga ciri-ciri tambahan seiring dengan masa produksi.
 

GS


Namun diantara model diatas, model yang paling popular adalah model BMW R 1200 GS dimana model ini adalah lebih ringan daripada model BMW R 1150 GS dan lebih berkuasa disebabkan sesaran enjinnya yang lebih besar. Lebih ringan bermakna lebih mudah dikawal dan ciri inilah yang diperlukan okeh sebuah motosikal "Dual Sport" seperti ini.

Pada tahun 2010 sehingga 2011, penambahbaikan dilakukan pada enjin dimana ia menggunakan sistem "Dual Overhead Camshaft" atau DOHC. Sistem ini dijenamakan oleh BMW dengan menggelarkan enjin ini sebagai enjin "Camhead". Penambahbaikan ini melonjakkan kuasa motosikal ini kepada 108hp.

Bermula tahun 2013, model BMW R 1200 GS dirombak secara besar besaran dimana ia menerima enjin sejukan cecair, cesi baharu, rekabentuk baharu dan teknologi baharu. Rombakan ini menaikkan kuasa motosikal ini kepada 125hp. Bukan itu sahaja. Jualan model ini juga meroket tinggi disebabkan permintaan tinggi dari seluruh pelusuk dunia.
 

R 1250 GS


Pada tahun 2019, BMW Motorrad melancarkan pula model BMW R 1250 GS yang merupakan model terbaru dan masih diproduksi hingga kini. Model ini menerima sistem "ShiftCam" pada enjinnya dan melonjakkan kuasanya sehingga 136hp. Laju? Kelajuan tertinggi adalah 210.5km/j. Jika anda  seorang yang gilakan kelajuan, ini bukan motosikal sesuai. Ia tidak mampu dibawa sehingga 299km/h. Jika itu yang anda mahukan, boleh cuba BMW S1000RR atau BMW HP4. Jika anda mahukan sebuah motosikal yang boleh dibawa kemana sahaja tanpa rasa penat, model GS lah jawapan paling sesuai.

Bagaimana pula dengan barisan model F? Diatas kita sudah selusuri sejarah model R. Perbezaan ketara model F dengan R adalah enjin. Model R mengekalkan enjin "Flat Twin" dari dahulu hingga kini. Manakala model F pula dimulai dengan "Single Cylinder" dan legasinya disambung dengan penggunaan enjin "Parallel Twin Cylinder".

Kita pergi pula pada sejarah model F.
 

Dakar
sumber gambar: Bennetts


Bertitik tolak daripada kesuksesan model BMW F 650 dan F 650 ST, pihak BMW Motorrad kemudian melakukan pembikinan semula model F650 ini dan dijenamakan sebagai F 650 GS dan F 650 GS Dakar. Momen bersejarah ini berlaku pada tahun 2000 dimana pihak BMW Motorrad menyatakan bahawa dengan pengenalan model ini, sesiapa sahaja mampu untuk merasai pengalaman membawa motosikal "Enduro". Harga yang ditawarkan juga adalah lebih murah daripada varian R.

Model ini bersaing secara langsung dengan model sepertu Kawasaki KLR650, Suzuki DR650, Honda XR650L, KTM LC4 640, Yamaha XT660 dan Honda Transalp. Model F650 terdahulu menggunakan enjin yang dibekalkan oleh syarikat Rotax dan dipasang oleh syarikat Aprilia. Apabila BMW F650 GS diperkenalkan, kesemua proses ini dilakukan sendiri oleh pihak BMW.

Secara kesuluruhannya, apa yang ada pada model ini adalah lebih kecil dari model R baik dari segi sesaran enjin, kuasa mahupun dimensi. Namun ia mempunyai kelebihan tersendiri dimana ia lebih mudah dikawal dan sesuai dinaiki waima oleh seseorang yang tidak berpengalaman. Dari segi penjagaan, ia lebih mudah dijaga dan kos penjagaannya juga adalah lebih murah. Salah satu faktor utamanya ialah penggunaan rantai sebagai medium pacuan berbanding "Shaft" yang terdapat pada model R.

Produksi model BMW F 650 GS dan BMW F 650 GS Dakar ini berlangsung selama 7 tahun dari tahun 2000 sehingga tahun 2007. Selama 7 tahun ini, lebih 105,000 unit sudah terjual di seantero dunia. Hebat bukan?
 

GS


Bermula tahun 2008, model F menerima enjin baru iaitu enjin "Parallel Twin Cylinder". Enjin ini bersesaran sebesar 798cc sejukan cecair. Model yang dilancarkan pada tahun ini adalah F 650 GS dan F 800 GS. Walaupun nombornya berbeza, ia tetap menggunakan enjin yang sama namun kuasa yang dihamburkan adalah berbeza. Nombor pada nama model ini tidak melambangkan sesaran enjin.

Pada tahun 2012, pihak BMW Motorrad melancarkan model BMW F 700 GS sebagai pengganti model BMW F 650 GS. Model ini menerima ciri-ciri dan teknologi yang terkini. Kuasa enjinnya adalah 75hp dan daya kilas sekuat 77Nm. Kelajuan tertinggi pula adalah pada 192km/h.

Pada tahun 2013, pihak BMW Motorrad melancarkan model BMW F 800 GS Adventure. Masih mengekalkan enjin yang sama, namun kuasa enjin bagi model ini ditingkatkan kepada 85hp dan daya kilas sekuat 83Nm. Kelajuan tertinggi pula adalah pada 200km/h.
 

F 850 GS


Pada tahun 2019, pihak BMW Motorrad melancarkan model BMW F 850 GS bagi menggantikan model BMW F 800 GS yang sudah 11 tahun berada di dalam pasaran. Kali ini ia tidak lagi menggunakan enjin yang sama. Ia menggunakan enjin bersesaran 853cc yang menghamburkan kuasa sebanyak 95hp dan daya kilas sekuat 92Nm.

Banyak penambahbaikan yang dilakukan pada model ini dan antara yang menarik perhatian adalah tiada lagi masalah gegaran ketika kelajuan tinggi seperti yang dialami oleh model sebelumnya.

Jadi disini, kita dapat lihat variasi terbaru model GS bagi keluarga R ialah R 1250 GS dan keluarga F ialah F 850 GS.
 

G 310 GS


Namun ada satu lagi model untuk marhaen. Model tersebut ialah BMW G 310 GS yang dilancarkan pada tahun 2018. Model ini merupakan hasil kerjasama diantara pihak BMW Motorrad dan juga syarikat TVS Motor Company yang berpangkalan di India. Model ini dijana oleh enjin silinder tunggal bersesaran 313cc yang mampu menghamburkan kuasa sebanyak 34hp dan daya kilas sekuat 28Nm.

Ianya hanya seberat 169kg sahaja sekaligus membuatkan motosikal ini sangat mudah dikawal tidak kira dimana anda berada. Di bandar mahupun di hutan. Harganya juga tidaklah terlalu mahal, sekitar RM29,500 sahaja dan membuatkan ia sebagai jentera BMW paling murah yang dijual sekarang ini.

Jadi Tuan-Tuan, ini lah dia sedikit sebanyak yang dapat dikongsikan tentang sejarah BMW GS. Nama GS ini sudah cukup kuat di arena permotoran. Terima kasih juga kepada pihak BMW yang tidak pernah jemu untuk mengekalkan kualiti terbaik yang membolehkan varian GS ini kekal relevan sehingga sekarang.
 

GS


Penulis: Ahmad Omar

Penulis merupakan seorang pengarah urusan pusat servis kenderaan. Beliau berpengalaman bertugas sebagai mekanik, penasihat teknikal dan pengurus pemasaran di dalam dan luar negara. Beliau juga berpengalaman di dalam mengendalikan jentera-jentera mewah dari Itali, Jerman, UK dan Jepun.

Berita Berkenaan

Informasi
    Dianggarkan satu bilion pengguna mempercayai jenama Continental setiap hari! Continental…
Berita Global
Apa yang anda lihat di dalam artikel ini merupakan sebuah Countach LP 400 S tahun 1979 yang…
Sukan Bermotor
Pelumba berusia 19 tahun yang sudah dua tahun berkecimpung dalam Kejuaraan Supermoto Sepanyol itu…