Sejarah ringkas dua roda aloi Malaysia - JRD dan BSA

oleh HEZERI SAMSURI|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Di Malaysia, kita sendiri ada beberapa jenama roda aloi yang suatu ketika dahulu popular.

JRD bermula pada tahun 1991 dan nama rasmi syarikat induknya ialah Bright Wheels Sdn Bhd yang berpangkalan di Sungai Buloh.

Ia menjadi vendor Proton bukan setakat sebagai pembekal roda aloi, tetapi membekalkan bamper dan komponen lain.

JRD kemudian memasuki dunia dua-roda dengan jenama Comel. 

Ramai yang menggelarkan JRD sebagai Jimmy's R&D, sempena nama pengasasnya, Datuk Jimmy Liew.

Kini JRD mempunyai pelbagai cabang perniagaan. JRD juga sudah berkembang ke beberapa negara lain, terutamanya Thailand.

Seperti jenama roda aloi global yang lain, JRD mempunyai beberapa lagi jenama seperti Flow Forming, Aston, XT Wheels dan Bright Wheels.


 

 

Kita juga mempunyai jenama BSA yang bermula pada tahun 1995 dan produknya dieksport terus ke 62 buah negara di seluruh dunia.

Publisiti cara berani BSA suatu ketika dahulu menjadikan ia sangat popular. Malah, BSA sendiri pernah menghasilkan roda aloi untuk digunakan pada Ferrari milik pengasasnya, Tan Sri Cam Soh Thiam Hong.

Dengan kilang yang serba lengkap di Rawang, BSA mempunyai jenama yang kuat di Australia dan seperti JRD, ia juga mula mengembangkan sayap ke industri berkaitan yang lain. 

Contohnya, Cam Soh ialah antara individu pertama yang membawa masuk jenama kenderaan China ke Malaysia - Chery Alado.

Penulis masih ingat kata-kata beliau kepada pihak media semasa sidang akhbar semasa kereta sedan Chery A160 di Petaling Jaya di mana Cam Soh berkata beliau sudah membaca pelbagai buku mengenai pembuatan kenderaan dan beliau tahu apa yang diperlukan untuk membuat kenderaan.

Pada masa itu, kenyataan beliau mungkin berbaur komedi sinis tetapi semangat kental beliau tidak boleh kita nafikan.

Mungkin juga Chery boleh bangkit semula kerana Geely, jenama dari China juga kini mendapat layanan yang istimewa sekarang dan kerap dipandu oleh Perdana Menteri kita sendiri. 

 

 

Kedua-dua jenama roda aloi tempatan ini sekarang lebih memberikan fokus kepada pasaran luar kerana pasaran domestik Malaysia dipenuhi dengan roda aloi dari China.

Tiada kawalan ketat dari agensi berkaitan dan juga tidak ada sesiapa yang serius dalam melihat jenama roda aloi Malaysia berkembang dengan kualiti global juga adalah punca kenapa jenama asing dari Thailand dan Taiwan masuk dan menguasai pasaran dengan sangat mudah.