Selamat tinggal Calsonic Kansei - berkuburnya sebuah lagi nama ikonik dari Jepun

oleh Mohamad Hanif|
Jepun kini kehilangan sebuah lagi nama ikonik di dalam industri sukan permotoran apabila diberitakan Calsonic Kansei dan Magneti Marelli bersepakat untuk menukar nama rasmi kepada MARELLI sahaja bermula bulan hadapan.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Penjenamaan serta penukaran nama korporat tersebut telah diumumkan pertama kali pada Mei yang lalu sebagai satu langkah menjadikan jenama MARELLI lebih kompetitif di peringkat global. 

Ini bermakna, Calsonic Kansei Corporation akan dikenali dengan nama baharu "Marelli Corporation" manakala Magneti Marelli S.p.A pula akan dinamakan sebagai "Marelli Europe S.p.A"
 


Calsonic Kansei Corporation pada asalnya bermula sebagai Nihon Radiator (Nichira) sebagai sebuah syarikat pakar dalam pembikinan komponen penukar haba, radiator dan pendingin hawa, sebelum bergabung dengan sebuah lagi syarikat pembekal (Kansei) membentuk Calsonic Kansei.

Tahun 1988 merupakan tahun kemunculan secara rasmi liveri Calsonic berwarna biru yang dinamakan sebagai Calsonic Blue dengan jentera pertama memakai liveri ini adalah Nissan Skyline R31 GTS-R. 

Namun, kemunculan Nissan Skyline R32 GT-R telah menaikkan nama Calsonic apabila muncul menguasai segenap perlumbaan JTCC, dan JGTC ketika zaman kegemilangannya. 
 


Nissan pada awalnya meningkatkan pegangan di dalam Calsonic Kansei sebanyak 41.7 peratus pada tahun 2005, sebelum bertindak menjual kembali kesemua pegangannya kepada syarikat Kohlberg Kravis Roberts. 

Hanya pada awal tahun 2018, FCA membuat keputusan untuk menjual Magnetti Marelli kepada Calsonic dengan nilai berjumlah $7.1 billion. 

Sehingga kini, Calsonic Kansei mempunyai 58 buah fasiliti produksi yang meluas di seluruh dunia, seperti di Amerika Syarikat, Eropah, Korea Selatan, Mexico, China, India dan juga di Malaysia.  
 


Dengan berkuburnya nama Calsonic, tidak dapat dipastikan apa pula nasib yang akan menimpa pada liveri ikonik yang digunakan oleh Team Impul Calsonic yang bertanding di dalam kelas GT500 SuperGT Jepun. 

Sumber: Japanese Nostalgic Cars