Unit terakhir Aventador yang keluar dari kilang merupakan sebuah Aventador Ultimae Roadster berwarna biru khas yang ditawarkan menerusi divisyen penyesuaian Ad Personam.
Ia bakal diserahkan kepada pemiliknya di Switzerland.
Ini merupakan kali kedua Lamborghini menamatkan produksi Aventador selepas pengeluar itu terpaksa memulakan semula pemasangan 15 unit model Ultimae bagi menggantikan unit yang karam bersama-sama kapal kargo Felicity Ace pada awal tahun lalu.
Model Aventador terbukti merupakan model Lamborghini V12 yang popular mengalahkan model-model V12 yang terdahulu.
Ketika awal pengenalannya, Aventador dengan enjin V12 6.5 liter itu mampu menjana kuasa setinggi 690 hp dan 690 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 2.9 saat dan kelajuan tertinggi 350 km/j.
Versi Ultimae yang menjadi penutup kepada buku sejarah Aventador diumumkan secara rasmi pada Julai 2021, dengan angka produksi terhad sebanyak 600 unit dan enjin V12 yang mampu menjana kuasa setinggi 769 hp dan 720 Nm.