SEMA 2022: Prototaip VW Golf “Rallye” 1993, homologasi istimewa WRC yang tidak kesampaian

oleh Penyumbang Rencana|
Pada acara SEMA yang berlangsung di Las vegas, Volkswagen mempamerkan beberapa kereta prototaip yang menarik perhatian pengunjung.
CHERY TIGGO 7 PRO Launch MREC Banner Campaign June 2024

Namun, yang menjadi tumpuan utama bukanlah kereta buatan baru dengan teknologi canggih, tetapi ia merupakan sebuah prototaip Golf MK3 “Rallye” dari tahun 90-an!

Golf MK3 "Rallye" merupakan prototaip hot hatch yang dilupakan, ianya dibangunkan pada awal 90-an sebagai kajian kebolehlaksanaan untuk penglibatan potensi pembuat kereta dalam WRC. Projek itu ditangguhkan tetapi konsep khas homologasi ini wujud dan ia berfungsi sepenuhnya.

 

Vw Golf Rallye di SEMA


VW Golf khas dengan kod nama A59 ini dibina oleh Schmidt Motorsport (SMS), yang berpangkalan di Cadolzburg pada tahun 1993. Faktor utama model produksi diperlukan kerana peraturan FIA untuk Kejohanan Rali Dunia 1994 memerlukan setiap pengeluar kereta menghasilkan 2,500 unit homologasi khas kereta rali yang mengambil bahagian.

Bayangkan jika projek homologasi ini tidak dihentikan, Vw Golf “Rallye” bakal menjadi seteru yang setara dengan model yang sinonim dengan WRC seperti Lancia Delta HF Integrale, Subaru Impreza WRX STI atau Mitsubishi Lancer Evolution.

Antara perkara unik yang ada pada Golf istimewa ini merupakan enjin yang berada di bawah bonetnya. Ianya dikuasakan dengan enjin 2.0 liter 4 silinder yang diperbuat dari aluminium bersama pengecas turbo yang dibina khas, sekaligus menghasilkan 271 hp (202 kW / 275 PS) dan 370 Nm (273 lb-ft) tork.

 

Enjin 2.0 liter turbo


Selain nadi yang berkuasa, semua kuasa yang dihasilkan dari enjin disalurkan kepada semua roda melalui kotak gear 6 kelajuan bersama sistem AWD dipadankan dengan karbeda (differential) LSD. Walaupun tiada rekod rasmi masa pecutan, Golf “Rallye” mampu mencapai kelajuan tertinggi 270 km/j! 

Casis A59 ini dilengkapi dengan penyerap hentak Bilstein, di hadapan menampilkan lengan kawalan yang lebih luas, manakala reka bentuk gantungan multi-link bersama struts Bilstein di bahagian belakang.

Roda aloi Speedline SL817 16-inci dibalut dengan tayar 225/45R16 yang lebih lebar untuk menyembunyikan cakera brek cross-drilled  oleh Brembo di belakangnya.

Malang sekali apabila VW Motorsport memutuskan untuk tidak menyertai WRC yang menyebabkan projek Golf “Rallye” ini terhenti. Menurut Volkswagen, hanya dua buah prototaip model itu dibina, dengan hanya satu daripadanya boleh dipandu.

Sumber: Carscoops
Penulis: Ahmad Danial Yasin