SEMA 2022: Scalar Performance dedah jentera lumba GR86 - berkuasa elektrik, 328 hp, 468 Nm!

oleh Mohamad Hanif|
Setakat artikel ini ditulis, Toyota sebenarnya masih lagi dalam peringkat perancangan untuk menjalankan proses elektrifikasi kereta berprestasi tinggi Gazoo Racing.
LEXUS MREC Banner Campaign August 2024
CHERY Omoda 5 NCAP MREC Banner Campaign September 2024

Namun, bertempat di SEMA sebuah syarikat Kanada Scalar Performance mengambil kesempatan memperlihatkan sebuah jentera lumba berkuasa elektrik SCR1 yang direka khusus untuk perlumbaan NASA Super Touring Series.

Jentera lumba SCR1 ini menggunakan asas daripada Toyota GR86, namun enjin asal 2.4 liter itu telah pun dibuang dan digantikan dengan trenkuasa elektrik yang dihasilkan oleh Hypercraft.
 

SCR1


Motor elektrik tunggal 800 voltan itu mampu menjana kuasa setinggi 328 hp dan 468 Nm, dengan pecutan 0-96 km/j dalam masa 3.9 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 265 km/j.

Ia masih lagi mengekalkan sistem pacuan roda belakang, dibantu dengan LSD Torsen.

Pek bateri gred perlumbaan itu mempunyai kapasiti 65 kWh, membolehkan ia dilenjan untuk tempoh 45 minit sebelum dicas semula.

Masa pengecasan pula adalah kurang 20 minit apabila menggunakan pengecasan pantas DC Tahap 3 150 kW.
 

SCR1


Dari segi luaran, SCR1 ini dipadankan dengan kelengkapan wajib perlumbaan seperti splitter hadapan, sayap belakang yang besar, diffuser baharu, rim Enkei bersaiz 18 inci dengan tayar perlumbaan Hoosier.

Ruang kokpit pula dipasangkan dengan sangkar keselamatan lapan poin VR3 Engineering, tempat duduk perlumbaan Sparco, tali pinggang keselamatan enam poin Safecraft Racing, dan jaring tingkap SFI.

Pihak Scalar mendakwa SCR1 mampu menawarkan pengendalian yang hampir sama dengan model asal, terima kasih kepada pengagihan berat badan yang sama.
 

SCR1


Biarpun dengan trenkuasa elektrik, berat keseluruhan SCR1 hanyalah 103 kg lebih berat berbanding Toyota GR86 standard.

Sistem suspensi Ohlins pula ditala khusus untuk tujuan perlumbaan, sementara sistem brek pula terdiri daripada angkup enam omboh di depan dan empat omboh di belakang.

Dibina untuk tujuan perlumbaan sahaja, SCR1 akan dilancarkan secara rasmi pada musim panas 2023.
 

SCR1


Pihak Scalar turut menawarkan 10 unit SCR1 Founder Edition, di mana setiap satu akan mendapat plak bernombor, sangkar keselamatan dengan kemasan cat kustom, serta sokongan daripada pasukan kejuruteraan termasuklah kemas kini over-the-air.