Toyota Corolla WRC itu menggantikan peranan yang ditinggalkan oleh Toyota Celica Turbo ST205 dan berjaya memenangi empat kejuaraan serta menjuarai kategori pengeluar pada tahun 1999.
Bersempena dengan acara SEMA 2022, Toyota membawakan jelmaan jentera rali terbaharu menggunakan asas daripada GR Corolla.
Dinamakan sebagai GR Corolla Rally Concept, ia banyak mengambil inspirasi rekaan daripada GR Yaris WRC.
Lihat sahaja padanan kit badan lebar, serta pengaruh gentian karbon yang boleh dilihat pada skirt sisi, splitter depan dan sayap belakang yang sangat besar itu.
Keempat-empat sudut dipasangkan rim OZ Racing bersaiz 17 inci dengan balutan tayar Continental VikingContact 7, sementara sistem brek pula dinaiktaraf dengan menggunakan angkup brek Wilwood untuk roda belakang.
Sistem gantungan jentera rali ini menggunakan set gegelung boleh laras TEIN Gravel Rally.
Tema rali diteruskan pada ruang kabin, di mana ia didatangkan dengan tempat duduk OMP Racing, sangkar keselamatan kustom, sistem pemadaman api, sistem interkom ZeroNoise, serta penambahan brek hidraulik untuk ergonomik pemanduan yang lebih baik.
GR Corolla Rally Concept ini mengekalkan enjin G16E-GTS 1.6 liter yang mampu menjana 300 hp dan 370 Nm, namun ditambahbaik dengan penapis udara aliran tinggi serta sistem ekzos kustom MagnaFlow.