Untuk acara SEMA 2021 yang bakal berlangsung, Honda akan membawakan sehingga tujuh unit kenderaan pameran, termasuk dua buah model konsep jentera lumba Civic Si.
Honda Civic Si Race Car Prototype oleh HPD

Civic Si Race Car Prototype ini dihasilkan oleh divisyen Honda Performance Development untuk perlumbaan siri SRO TC America.
Enjin masih lagi dalam keadaan standard, namun apa yang berubah adalah beberapa talaan serta penggunaan radiator berkapasiti tinggi, nisbah gear keempat yang ditala semula, LSD Cusco/HPD dan sistem ekzos Borla/HPD.

Untuk sebuah jentera lumba, perkara yang wajib dipasang sudah pasti sangkar keselamatan, serta diikuti roda stereng, harness dan tempat duduk OMP, sistem suspensi boleh laras dengan penyerap hentak Bilstein dan spring Eibach, roda aloi Momo dan sistem brek Wilwood (angkup enam omboh depan, dua omboh belakang).
Team Honda Research West Civic Si Race Car

Jentera lumba Civic yang kedua ini dibina oleh pasukan sukarelawan dari pelbagai divisyen dalam Honda, dan bakal bertempur dalam perlumbaan 25 jam National Auto Sport Associations (NASA) di Northern California.
Selain menampilkan talaan enjin daripada Hondata, jentera lumba ini dipasangkan dengan sistem penyejuk minyak, radiator yang lebih besar, kemasukan kustom, sistem ekzos titanium, set nisbah gear kustom dan sistem brek daripada Paragon.

Menjadikan rupa paras Civic Si ini lebih garang adalah pemasangan hud dan trunk karbon daripada Seibon, sayap belakang GT250 daripada APR Performance, serta splitter kustom daripada Power Stream Industries.
Aksesori HPD untuk Civic Si 2022

Honda juga mengumumkan senarai aksesori tulen Honda dan aksesori HPD yang boleh dipadankan pada Honda Civic Si 2022.
Untuk pameran tersebut, mereka menayangkan sebuah Honda Civic Si 2022 dengan penambahan aksesori seperti spoiler bawah badan yang agresif, emblem HPD, set rim, serta spoiler belakang.