Seorang kanak-kanak parah, 40 cedera bas persiaran terbalik

oleh Hamimah Hamid|
SERAMAI 40 orang penumpang termasuk pemandu bas persiaran cedera manakala seorang kanak-kanak cedera parah selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah kereta dan terbalik di kilometer (KM) 264.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah selatan pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.25 pagi itu, mangsa yang cedera parah ialah seorang kanak-kanak perempuan manakala yang cedera ialah lapan lelaki dewasa, seorang kanak-kanak serta 29 wanita.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, bas tersebut yang terbalik ke dalam longkang terbabit kemalangan dengan sebuah kereta jenis Honda Accord.

 

"Pihak bomba menerima panggilan pada jam 7.28 pagi dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya dan Kuala Kangsar dikejarkan ke lokasi.

 

"Setibanya di lokasi mendapati kemalangan melibatkan sebuah bas persiaran dan sebuah kereta sedan," katanya.

 

Difahamkan kesemua penumpang bas terbabit dalam perjalanan dari Kupang, Kedah ke Ipoh bagi menghadiri majlis keagamaan.

 

Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh menggunakan dua unit EMRS dan bantuan ambulans pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 

 

Foto: JBPM Perak