Sepang Driving Experience Circuit - Pertama di Malaysia

oleh HEZERI SAMSURI|
Litar Pengalaman Pemanduan (DEC) di Sepang merupakan litar awam yang pertama seumpamanya di dalam negara.

Sebelum ini, Proton dan Perodua mempunyai fasiliti yang hampir sama tetapi ia tidak terbuka untuk kegunaan awam.

Namun begitu, DEC atau Driving Experience Circuit di bawah pengurusan Petronas Sepang International Circuit (SIC) ini lebih hampir kepada litar ujian Perodua kerana ia mempunyai litar pengendalian yang berliku, bukan litar bujur (oval) seperti yang digunapakai oleh Proton.

Menurut Hasrul Adha dari Pengurusan Projek SIC, cadangan asal pembinaan litar ini bermula sejak tahun 2014 lagi dan tujuan DEC ini dibina ialah lebih untuk memenuhkan keperluan pasaran yang memerlukan satu kawasan khusus untuk tujuan latihan pemanduan dan pelancaran produk.

Bagi tujuan latihan, ia boleh digunakan untuk mengadakan kursus skil pemanduan bagi agensi kerajaan, syarikat swasta atau orang awam yang mahu meningkatkan skil pemanduan mereka.

 

 

Kursus-kursus itu akan ditawarkan oleh syarikat-syarikat yang layak dan DEC hanya menyediakan tapak dan litar latihan sahaja.

Untuk kegunaan komersil, litar seumpama ini boleh digunakan untuk pelancaran model kenderaan baharu di mana media diberikan peluang untuk mencuba kenderaan tersebut di litar ini.

Pelancaran tayar baharu juga boleh dilakukan di DEC kerana ia lengkap dengan fasiliti-fasiliti yang diperlukan serta kos yang jauh lebih rendah dari menyewa sebuah litar Formula 1 seperti litar utama SIC.

Ia juga boleh digunakan untuk syarikat kenderaan melakukan ujipandu khas bagi para pelanggan mereka.

Untuk fasa pertama ini, empat fasiliti utama telah disiapkan.

 

 

 

Litar Pengendalian

Litar berliku dan berbukit sepanjang 1.5 km dibina khusus untuk menguji pengendalian kenderaan atau prestasi tayar dan juga untuk melatih pemandu dalam pemanduan berprestasi tinggi.

Ia dibina menggunakan tar jenis ACB 10 yang dibekalkan oleh Nippon Road Malaysia Sdn Bhd, syarikat yang turut bertanggung-jawab untuk litar utama SIC. Gred yang digunakan di DEC ini tidak setinggi litar utama, tetapi lebih mencengkam dari tar yang digunakan di lebuhraya-lebuhraya tempatan.

 

 

Bulatan Skid (Skid Circle)

Satu bulatan lapang dengan diameter 30 meter yang dibasahkan untuk memberi simulasi tayar hadapan dan belakang hilang kawalan.

Ini juga penting dalam latihan pengendalian kenderaan semasa kecemasan atau ujian tayar.

 

 

Kick Plate

Sebuah plet hidraulik direka untuk membuatkan sebuah kenderaan hilang kawalan. Ia adalah antara fasiliti yang paling penting dan juga mahal di dalam latihan pemanduan.

Ia digunakan untuk latihan pemanduan semasa kecemasan, ujian sistem keselamatan kenderaan seperti Traction Control dan Stability Control serta untuk menguji cengkaman tayar.

 

 

Kawasan Dinamik

Kawasan rata dan lapang seluas 70m X 150m ini boleh digunakan untuk pelbagai latihan seperti ujian membrek, ujian slalom dan sebagainya.

Di bawah ialah senarai harga sewaan untuk DEC ini.

 


Untuk info lanjut, hubungi pegawai pemasaran SIC DEC, Izarul Amar di talian 010-909 5878.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Presiden Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata sebarang…
Berita Domestik
"Saya sudah berjumpa dengan Dorna dan menyatakan hasrat kerajaan untuk memperbaharui kontrak,"…
Informasi
"Walaupun kita tidak mencapai sasaran 200,000 orang, Alhamdulillah sambutan tetap menggalakkan.…