Tinggal beberapa minggu sebelum 2022 melabuhkan tirainya, pembekal perkhidmatan mobiliti mikro, Beam Mobility Malaysia telah mencatatkan rekod tertinggi baharu di beberapa kawasan.
Dengan rekod baru dari segi jumlah tunggangan, penunggang, penggunaan e-skuter dan banyak lagi, ini menandakan kedatangan pengangkutan zaman baharu yang dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia.
Beam telah ditubuhkan di Malaysia semenjak 2019 dengan misi untuk membantu trafik di bandar mengalir dengan lebih baik di samping mengurangkan pelepasan karbon.

Tahun ini, Beam telah menerima lebih 80,000 pendaftaran baharu, menjadikan jumlah keseluruhan penunggang 65 % lebih tinggi berbanding tahun 2021.
Selain itu, Beam juga telah meningkatkan penggunaan e-skuter baharu di kawasan utama di sekeliling negara.
Lebih 3,500 e-skuter ditempatkan di seluruh Semenanjung Malaysia dari Perak, Pahang, Johor dan liputan yang lebih luas di Lembah Klang termasuk kawasan kejiranan seperti Mont Kiara, Bandar Utama, Ara Damansara, Cheras dan banyak lagi.