Shairan Huzani Hussain - dari kampung nelayan Kelantan, kini ketuai Hiliran Shell Malaysia

oleh HEZERI SAMSURI|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Kecil orangnya, dan sungguh mudah tersenyum dan sangat mesra.

Namun begitu, rakan-rakan berbisik bahawa senyuman beliau itu menyembunyikan satu perkara - beliau seorang yang sangat serius di pejabat.

Itulah Shairan Huzani Husain, Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd sejak September 2016.

Keduanya ialah syarikat yang bertanggungjawab akan perniagaan hiliran (downstream) bagi produk Shell di Malaysia.

Anak kelahiran Kelantan ini sebenarnya mempunyai permulaan hidup yang sangat sederhana dan Careta berasa rendah diri kerana dibenarkan untuk berkongsi sejarah Shairan.

Dilahirkan 49 tahun dahulu di Pasir Puteh kepada sepasang guru, Shairan dibenarkan untuk membesar bersama datuknya di kampung Kedai Buloh, sebuah kampung nelayan di pinggir Sungai Kelantan, berhampiran dengan Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bahru.

 

Shairan di pejabat.

 

Datuknya hanyalah seorang nelayan sementara neneknya menjual bunga sanggul.

Sulung di antara empat adik beradik, Shairan membesar di perkampungan nekayan itu seorang diri bersama datuk dan neneknya sehingga berusia enam tahun. 

Kemudian, Shairan pindah untuk tinggal bersama ibubapanya dan memulakan persekolahan beliau di SK Tengku Indera Petra di Kota Bahru.

Selepas tamat sekolah rendah, Shairan diterima masuk ke MRSM Pengkalan Chepa, di mana Shairan bertemu dengan seorang yang istimewa yang akhirnya menjadi isteri beliau sehingga kini.

Hasil usaha Shairan selama lima tahun di sekolah berasrama penuh itu, beliau ditawarkan untuk menyambungkan pendidikan beliau di Grantham College di UK untuk peringkat A-Level.

Selepas itu, beliau ke Leeds University untuk menyambung pendidikan di dalam jurusan Ekonomi.

"Semasa di UK, saya memang kena bekerja sambilan untuk mencari duit poket. 

Saya bekerja mencuci pinggan di sebuah restoran, dan ia adalah satu pekerjaan yang membuat saya sangat bersyukur dengan apa yang saya ada," terang Shairan.

"Bekerja sebagai pencuci pinggan di sebuah restoran di UK mengajar saya erti kemanusiaan dan kehidupan."

 

Shell for Life
Seseorang yang bermula dari kesusahan akan pasti menghargai setiap peluang yang diberikan 

 

Tiga bulan membanting keringat di dapur kedai makan itu, Shairan berjaya mengumpulkan wang yang cukup untuk membeli tiket keretapi bagi mengelilingi benua Eropah.

"Banyak yang saya lihat dan pelajari dari pengembaraan saya itu," katanya. 

Walaupun begitu, Shairan sentiasa fokus di dalam pelajaran beliau dan bila Shell datang untuk menawarkan pakej biasiswa, anak Pasir Puteh ini dengan mudah terpilih. 

Pada tahun 1990, Shairan berjaya menamatkan pendidikan beliau di Leeds. Namun begitu, beliau tidak terus pulang ke Malaysia.

"Saya mula bekerja di firma antarabangsa KPMG di Leeds.

Sebenarnya, saya bekerja di siang hari dan di sebelah malam, saya tekun belajar untuk mengambil peperiksaan profesional dari Insitutte of Chartered of Accountant of England and Wales," sambung Shairan.

Beliau lulus peperiksaan itu dan terus bekerja keras untuk membuktikan anak Melayu ini mampu berjaya dari segi profesional.

Shairan with Sarawakians

 

Perubahan datang mendadak kepada Shairan dalam tahun 1993.

"Satu hari di dalam tahun 1993, seperti biasa, saya akan terbangun dari tidur tetapi pada hari itu, terus terdetik di hati saya yang England ini terlalu sejuk cuacanya dan saya tiba-tiba terlalu rindukan kampung halaman."

"Hari itu, saya bertekad untuk berhenti kerja dan balik," Shairan bercerita.

Memang itu yang dilakukan oleh Shairan di mana beliau terus memohon untuk berhenti bekerja dan pulang ke Malaysia, tanpa sebarang perancangan yang kukuh akan kerjaya beliau bila balik ke sini nanti.

"Saya memang nekad untuk balik!" ujarnya mengetap gigi.

Shairan yakin rezeki sentiasa ada untuk mereka yang berusaha dan setibanya beliau di Malaysia, Shairan memohon sebarang jawatan di Shell Malaysia dan diberikan satu jawatan di Shell Chemical, yang menghasilkan produk ubat nyamuk Shelltox zaman dahulu.

 

Shelltox coil
Gambar dari http://2.bp.blogspot.com

 

"Alhamdulillah, saya terus mendapat pekerjaan dan seperti di UK, saya terus bekerja keras."

Sejak dari itu, Shairan tidak pernah memandang ke belakang di dalam kariernya bersama Shell.

Dengan syarikat minyak global itu, beliau pernah ditugaskan di Corporate Finance, Forex Trading, bahagian upstream di Miri tetapi akhirnya beliau bertemu dengan sesuatu yang menarik minat beliau - bahagian retail atau runcit.

Beliau ditugaskan untuk menjaga stesen-stesen minyak Shell di dalam negara dan antara yang pertama ialah stesen minyak Shell di Glenmarie.

"Saya pernah mencuci tandas di stesen tersebut pun," cerita Shairan sambil ketawa.

Kemudian, Royal Dutch Shell, syarikat induk untuk Shell memberikannya satu tugasan yang berat - untuk memulakan perniagaan Shell di negara India.

"Saya ingat lagi bagaimana saya memujuk isteri dan keluarga untuk mengikut saya ke India. Apa yang saya lakukan ialah saya tunjukan beliau gambar-gambar poskad yang menarik akan negara tersebut."

"Sampai di lapangan terbang Bangalore, isterinya berkata gambar di dalam poskad tersebut langsung tidak sama dengan keadaan sebenar!" gelak Shairan mengenangkan peristiwa tersebut.

Shairan seterusnya menetap di Taj West End Hotel dan membuka sebuah pejabat sementara Shell India di hotel tersebut.

"Pejabat pertama Royal Dutch Shell di India ialah sebuah bilik kecil di hotel Taj West End. Saya membeli empat kerusi, satu mesin faks dan meja yang saya pinjam dari hotel."

"Dan itulah permulaan Shell di India. Sehingga kini, nama di dalam lesen perniagaan Shell di India masih mempunyai nama saya!" sambung beliau.

 

Shell Mumbai
Stesen Shell di Mumbai.

 

Selepas empat tahun dan 30 stesen minyak Shell yang beliau mulakan di negara itu, Shairan akhirnya pulang ke Malaysia.

"Bukan mudah untuk membuka syarikat minyak asing di India kerana negara itu mempunyai empat syarikat minyak nasional."

Kejayaan anak Melayu itu dipandang tinggi oleh Shell induk dan Shairan terus diminta untuk menjaga rangkaian stesen Shell global.

"Walaupun saya ditempatkan di Malaysia, saya perlu terbang ke serata dunia untuk tugas itu."

Kerana terlalu banyak kali berjalan ke negara lain, Shairan mampu membuat kupasan akan imej negara di mata dunia.

 

shairan in a truck
Shairan memang percayakan konsep mesra pelanggan dan lebih cenderung ke arah pembangunan sahsiah.

 

"Dari pengalaman saya, ramai yang pernah mendengar mengenai Malaysia tetapi mereka tidak tahu apa itu Malaysia dan siapa itu warga Malaysia."

"Saya sudah menjadi seperti Duta kepada negara kerana saya akan terangkan apa itu Malaysia dan bagaimana negara kita ini kepada mereka," kata Shairan lagi.

"Alhamdulillah, saya berbangga dengan Malaysia dan kerana itu, mereka menghormati saya sebagai seorang Muslim dan seorang rakyat Malaysia. Tidak pernah saya ditegur kerana meminta masa rehat sebentar untuk melakukan solat. Malah, semangat kerja di Shell ialah menghormati agama dan adat di mana ia bertapak," sambung Shairan.

"Itulah Shell. Walaupun ia mementingkan teknologi dan kualiti di dalam produknya, ia masih memastikan budaya tempatan tidak diganggu dan perlu dihormati."

Menurut Shairan, stesen minyak Shell sudah berubah untuk menjadi lebih mesra pelanggan, baik dari sikap melayani pelanggan sehinggakan prasarana yang dibina.

"Anda pasti biasa dengan cara pekerja Shell menegur anda dengan senyuman di bibir dan tangan di dada. Mereka bekerja untuk anda!"

"Dan sejak beberapa tahun lalu, Shell sudah mula menyediakan surau yang bersih dan selesa."

 

Shairan Deli 2 Go

 

"Shell juga memperkenalkan kedai Deli to Go di stesennya di mana makanan seperti kek dan pastri dimasak di situ setiap hari," ujarnya.

Istimewanya Deli to Go ini ialah walaupun makanan dibakar dan dimasak di situ, teknologi dapur tanpa apinya dipastikan selamat.

"Ini Shell - keselamatan pastinya tanggungjawab nombor satu kami!"

Satu lagi yang menjadi kebanggan Shairan ialah kemajuan kerjaya untuk pekerja-pekerja Shell di stesen-stesennya.

"Kami memanggil mereka sebagai site-heroes," terang Shairan. 

Shairan teringat semasa beliau ditugaskan di Singapura dahulu ketika Ramadhan, beliau berbuka dengan pekerja-pekerja stesen minyak negara itu di sebuah masjid di sana dan beliau mula mengenali mereka dengan lebih rapat.

"Kami berbuka dan solat bersama dan selepas itu kami bertegur sapa. Selepas bergaul dengan mereka, rasa hormat saya kepada mereka semakin meninggi."

Sharain the barista

 

Shairan berkata hasrat beliau ialah agar pekerja-pekerja stesen minyak Shell akan diberikan sijil setaraf dengan diploma.

"Ini ialah kerana mereka diberikan latihan yang secukupnya dan mereka diberi peluang untuk memajukan diri mereka," sambung Shairan.

Kerana itu, kata Shairan, ada pengurus stesen minyak Shell yang bermula dari juruwang di kaunter sahaja.

"Pembinaan sahsiah oleh Shell Malaysia menjadi satu keutamaan kerana kami yakin setiap dari mereka mempunyai potensi untuk berjaya."

"Kami sediakan ruang dan peluang untuk mereja jadi yang terbaik," kata Shairan sebelum menamatkan perbualan kami.

Shairan pumping gas