Shell App kini ada ciri BUDI95

oleh Penyumbang Rencana|
Shell Malaysia mengumumkan BUDI95 kini boleh digunakan sepenuhnya melalui Shell App, menawarkan pengalaman mengisi minyak yang lebih pantas, selamat dan penuh ganjaran kepada pengguna.

Ia sekali gus memudahkan pengguna menikmati kadar subsidi bahan api secara terus dengan melalui telefon pintar masing-masing.

Melalui kemudahan baharu ini, pengguna hanya perlu melengkapkan verifikasi eKYC TNG eWallet sekali sahaja sebelum boleh menekan butang BUDI95 dan membuat pembayaran petrol secara digital dalam aplikasi untuk menikmati harga subsidi serta-merta.

Pengurus Besar Shell Mobility and Convenience Malaysia, Seow Lee Ming, berkata, penambahbaikan itu membantu rakyat yang mahu memaksimumkan setiap perbelanjaan mereka.

 

 

 

"Matlamat kami adalah menjadikan perjalanan mengisi minyak lebih mudah, cepat dan berbaloi. Dengan Aplikasi Shell yang baharu, pengguna boleh menikmati pembayaran selamat, tawaran peribadi serta akses pantas kepada BUDI95.

"Integrasi ini membolehkan pelanggan menikmati pengalaman mengisi minyak yang lebih mudah tanpa perlu lagi mengeluarkan MyKad. Pengguna hanya perlu memastikan Touch 'n Go eWallet mereka disahkan eKYC untuk membuka pam minyak serta menikmati subsidi secara automatik.

"Pelanggan tidak lagi perlu mengeluarkan kad pengenalan. Mereka hanya perlu memastikan eKYC Touch'n Go selesai dan seluruh perjalanan menjadi lancar," katanya pada majlis pelancaran perkhidmatan itu pada Rabu.

Beliau turut menjelaskan bahawa aplikasi Shell sudah berada dalam pasaran sejak dua tahun lalu, namun hanya kini ia bersedia untuk menyokong BUDI95, seterusnya membawa lebih banyak kemudahan dan ganjaran kepada rakyat Malaysia.

 

 

Aplikasi itu bukan sekadar memudahkan pembayaran, tetapi turut memaparkan baki Touch 'n Go pengguna, menyediakan resit digital serta membolehkan pembayaran dilakukan dengan pantas melalui imbasan biometrik.

Menyentuh transformasi digital Shell, Lee Ming berkata syarikat akan terus memperkenalkan inovasi baharu bagi meningkatkan ganjaran dan memperkemaskan pengalaman pelanggan di stesen minyak.

"Kami akan terus berkembang melalui inovasi digital. Kami mahu memastikan pelanggan mendapat lebih ganjaran, lebih kemudahan dan pengalaman tanpa gangguan ketika mengunjungi stesen Shell," katanya.

Ditanya mengenai peluasan rangkaian, beliau berkata Shell yang kini memiliki lebih 1,000 stesen minyak akan terus mencari lokasi strategik di kawasan pembangunan baharu termasuk lebuh raya.

 

 

Menurutnya, integrasi ini turut melengkapi pengalaman di stesen Shell yang menawarkan rangkaian perkhidmatan seperti kedai Shell Select, pelincir Shell Helix dan Shell Advance serta perkhidmatan penjagaan kereta.

Sempena pengenalan BUDI95 dalam aplikasi itu, Shell melancarkan dua kempen ganjaran. Pengguna yang menghubungkan aplikasi Shell dengan TNG eWallet eKYC dan membuat transaksi BUDI95 minimum RM10 akan terus menerima baucar RM5 secara automatik.

Pengguna baharu turut menerima baucar tambahan RM5, menjadikan RM2 juta ganjaran disediakan untuk tawaran itu.

Selain itu, pengguna yang membeli pelincir Shell Helix atau Shell Advance di stesen Shell terpilih akan menerima baucar khas dan penebusan baucar itu menerusi aplikasi yang juga secara automatik melayakkan mereka menyertai pertandingan untuk memenangi petrol percuma selama tiga tahun.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Pemantauan Penggunaan Dan Kajian Semula Had Kuota Kerajaan akan terus memantau rapat corak…
Berita Domestik
"Buat masa ini kerajaan meneruskan dahulu pelaksanaan program BUDI95 dengan sistem sedia ada. "…
Berita Domestik
"MOT prihatin terhadap maklum balas daripada warganegara Malaysia yang bekerja di Singapura…