Katanya, KTMB Shuttle Tebrau adalah satu daripada mod pengangkutan yang membawa penumpang berulang-alik dari Johor Bahru ke Singapura yang mula beroperasi pada 1 Julai 2015.
Tempoh perjalanan perkhidmatan berkenaan mengambil masa sekitar lima minit dengan harga tiket sehala RM5 dari Johor Bahru-Singapura dan SGD5 (RM17.80) dari Singapura-Johor Bahru.
"Dengan trek sepanjang 1.1 kilometer, perkhidmatan ini mampu membawa 8,635 penumpang sehari dengan kekerapan 31 trip bagi kedua-dua hala.
"Namun begitu, perkhidmatan ini akan ditamatkan dalam tempoh enam bulan selepas RTS Link mula beroperasi pada 1 Januari 2027.
"Bagaimanapun, set kereta api KTMB Shuttle Tebrau akan terus digunakan untuk menambah kekerapan perjalanan dari JB Sentral ke Stesen Kempas," katanya dalam kenyataan, di sini.
Dijadualkan siap menjelang Disember 2026 dan beroperasi awal 2027, RTS Link akan menghubungkan Bukit Chagar ke Woodlands North dengan masa perjalanan selama lima minit.
RTS Link adalah projek laluan kereta api ulang-alik sepanjang kira-kira empat kilometer dengan dua stesen - satu di Bukit Chagar di Johor Bahru dan satu lagi di Woodlands North, Singapura.
MRT Corp dipertanggungjawab membangunkan bahagian Malaysia sepanjang 2.7 kilometer (km) bagi rangkaian rel dan struktur diperlukan yang mana operasi itu akan dijalankan secara bersama dengan Prasarana Malaysia Bhd dan SMRT Corp Ltd dari Singapura.
Selepas siap nanti, RTS Link akan menjadi jambatan darat ketiga ke Singapura dan dijangka dapat mengurangkan lagi kesesakan teruk yang sentiasa dialami di Tambak Johor.
Dengan kapasiti puncak 10,000 penumpang sejam setiap hala, RTS Link bertujuan meningkatkan ketersambungan rentas sempadan dan memupuk hubungan Malaysia-Singapura yang lebih kukuh.
Projek itu ini juga meliputi kemudahan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) yang ditempatkan bersama untuk memastikan proses pelepasan penumpang yang lancar.