Silikon Karbida - bahan baru jadi pilihan utama EV

oleh HEZERI SAMSURI|
Setelah sekian lama silikon menjadi bahan utama pilihan industri semikonduktor, kemajuan kenderaan elektrik (EV) telah mendesak untuk pengunaan bahan yang lebih baik.

Tesla seperti biasa mendahului dengan penggunaan bahan "silicon carbide" atau silikon karbida untuk digunakan di dalam Model 3, antara model paling popular untuk jenama nombor satu EV itu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Silikon karbida atau SiC mengandungi silikon dan karbon serta mempunyai cantuman kimia yang lebih kuat dari silikon, menjadikan SiC bahan ketiga paling keras di dunia.

Kebaikan SiC ialah:

  • Mengurangkan kehilangan tenaga sebanyak 50 peratus dari penggunaan wafer silikon standard.
  • Menghilangkan haba dengan lebih baik, menjadikan saiz inverter lebih kecil. Inverter atau pembalik adalah antara komponen penting di dalam mana-mana EV untuk memastikan kelancaran tenaga kepada motor elektrik.

Menurut laporan dari Nikkei Asia, Tesla Model 3 mempunyai faktor aerodinamik sebaik sebuah kereta sport dan mengurangkan saiz inverter adalah kunci kepada rekabentuk licin EV tersebut.

Penggunaan SiC oleh Tesla telah mengubah dinamik industri cip dunia dan dalam bulan Jun lalu, Infineon Technologies dari Jerman turut memperkenalkan modul SiC mereka untuk inverter EV.

 

 

Hyundai Motor juga akan menggunakan inverter SiC dari Infineon untuk generasi terbaharu EV mereka, dan ia membantu menambah jarak perjalanan dengan sekali caj sebanyak lima peratus.

Renault pula akan menggunakan cip SiC dari STMicroelectronics Switzerland bermula dari 2026. Syarikat automotif dari Perancis itu juga akan menggunakan cip dari gallium nitride sebagai satu lagi alternatif bahan wafer semikonduktor.

Firma penyelidikan pasaran Perancis, Yole Development menjangkakan pasaran untuk cip SiC akan meningkat enam kali ganda menjelang 2026, mencapai nilai setinggi US$4.48 bilion.

Pembuat cip dari Jepun, Rohm adalah pelopor di dalam pembuatan cip SiC bermula dari tahun 2010. Syarikat itu juga telah membeli SiCrystal dari Jerman dalam tahun 2009 dan ia membolehkan Rohm menghasilkan wafer SiC sepenuhnya.

Rohm berhasrat untuk menawan 30 peratus dari pasaran cip SiC dunia menjelang 2025. ia juga sudah menandatangi perjanjian untuk membekalkan cip generasi akan datang kepada Geely.

* Laporan penuh di Nikkei Asia