Sime Darby beli 61.18 peratus saham UMW Holdings - Toyota dan Perodua sertai portfolio SD

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Sime Darby Enterprise Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh tidak langsung Sime Darby Bhd menyelesaikan pengambilalihan 61.18 peratus kepentingan dalam UMW Holdings Bhd pada harga RM3.57 bilion.

Susulan pengambilalihan itu, pegangan saham Sime Darby Enterprise dalam UMW telah meningkat daripada sifar kepada 714,813,100 saham UMW.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

"Oleh itu, UMW telah menjadi anak syarikat tidak langsung Sime Darby," kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada 13 Disember 2023.

Syarikat itu juga telah mencadangkan tawaran pengambilalihan mandatori untuk membeli semua baki saham UMW yang belum dimiliki oleh Sime Darby Enterprise dan Sime Darby selepas pengambilalihan.

UMW memegang 51 peratus kepentingan dalam UMW Toyota Motor serta 38 peratus kepentingan dalam Perodua, dan kedua-dua jenama pasaran terbesar ini akan menyertai portfolio besar Sime Darby yang sudah pun memiliki BMW, Ford, Hyundai, Porsche, Rolls-Royce dan Jaguar Land Rover untuk membentuk kumpulan automotif terbesar Malaysia.

Dalam makluman berasingan, Sime Darby mengumumkan ketua pegawai kewangannya Mustamir Mohamad berundur daripada jawatannya untuk menyandang jawatan presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan UMW berkuat kuasa pada Rabu.

Mustamir menggantikan Datuk Seri Ahmad Fuaad Mohd Kenali.

Manakala Muhammad Noor Abd Aziz yang sebelum ini merupakan ketua pegawai kewangan Sime Darby Motors dari September 2020 hingga Oktober 2023 akan menggantikan Mustamir sebagai ketua pegawai kewangan Sime Darby.

Sementara itu, UMW berkata ketua pegawai eksekutif kumpulan Sime Darby Datuk Jeffri Salim Davidson dan Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob telah menyertai lembaga pengarahnya.

Sebaliknya, Kartini Abdul Manaf dan Ahmad Adib Mukhtar meletakkan jawatan mereka sebagai pengarah dan pengarah gantian berkuat kuasa Rabu lalu.

 

Astro Awani