SimGearz - rig simulasi dari Sijangkang bertaraf dunia!

oleh HEZERI SAMSURI|
Untuk mereka yang berminat dengan sukan elektronik, simulasi perlumbaan adalah antara permainan video yang popular.

Dan bagi yang serius, sudah pasti akan membuat pelaburan untuk menggunakan kelengkapan yang lebih baik, contohnya rig simulasi agar pemain dapat duduk seperti di dalam sebuah jentera perlumbaan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Careta singgah sebentar di Sijangkang, Selangor untuk melihat sendiri rig buatan anak tempatan dengan jenama SimGearz. 

Dimiliki oleh seorang bekas perekabentuk Proton, Ahmad Fadlysham Junaidi, 32, anak kelahiran Sijangkang ini sudah mula melukis lakaran kereta sejak dari beliau kecil.

 

 

"Semasa Tingkatan 4, saya sudah tahu saya mahu menjadi perekabentuk kereta," ujar Fadlysham yang lebih dikenali sebagai Jebat.

"Saya minat rekabentuk Porsche, kerana evolusi dan revolusi yang dihasilkan tak makan zaman," terangnya lagi ketika kami berkunjung ke rumahnya di Telok Panglima .

Fadlysham sudah mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga tahun. Isterinya, Dr Fauziah Deraman pula bertugas di klinik kerajaan berhampiran.

Ayah muda ini memang sangat berminat dengan rekabentuk kenderaan dan beliau adalah graduan dari kursus Industrial Design (Automotive) UiTM Merbuk dan kemudian menyambungkan pendidikan ijazahnya di UiTM Shah Alam. 

"Boleh dikatakan hampir semua perekabentuk automotif yang mendapat pendidikan tempatan datang dari UiTM," kata Fadlysham. 

 

 

 

Semasa beliau bekerja (mula pada tahun 2010), penerima biasiswa Proton itu terbabit di dalam beberapa projek besar.

"Konsep Proton yang menjadi inspirasi untuk model Inspira itu datang dari saya. Kerana itu namanya Proton Jebat!"

Selain dari itu, beliau terbabit di dalam projek Suprima, Iriz dan juga Persona sekarang. Untuk Iriz dan Persona, beliau lebih fokus kepada rekabentuk ruang kabin.

"Iriz contohnya, adalah gabungan tempat duduk dari dua kenderaan Eropah," sambung Fadlysham. Padanlah tempat duduk Iriz terasa lebih premium untuk kenderaan sekelas dengannya!

 

seat options
Pilihan tempat duduk yang boleh dibeli dengan SimGearz.

 

Banyak juga pengalaman beliau semasa di Proton dikongsi bersama penulis dan ada juga yang menarik tetapi tidak lagi relevan kerana syarikat itu sudah menggunakan tenaga luar.

Seperti kebanyakan rakan-rakannya, Fadlysham meninggalkan Proton untuk mencari tempat kerja yang lebih terjamin dan untuk Jebat dari Selangor ini, beliau mengambil keputusan untuk memberi fokus kepada SimGearz.

"Saya mengambil keputusan untuk berdikari dan saya berhenti dari Proton pada hujung 2017. Lagipun pada masa itu saya baharu menerima cahaya mata dan isteri pula bertugas di wad kecemasan. Jika saya bekerja sendiri, lebih mudah untuk menjaga anak."

 

 

Nama SimGearz ini ialah nama produk khusus untuk rig permainan simulasi. 

Syarikat Fadlysham ini diberi nama Gearz Studio dan ia turut menghasilkan pelbagai produk lain, seperti T-Shirt dan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tempohari, beliau menghasilkan peralatan perlindungan diri (PPE) menggunakan kelengkapan yang ada untuk petugas-petugas barisan hadapan.

Buat masa sekarang, Gearz Studio cuma mempunyai dua kakitangan - Fadlysham sendiri dan Qiesya Sofiyya, anak perempuannya yang menjadi penyambut tetamu. Memang Qiesya yang banyak melayan penulis ketika berada di rumahnya.

Seorang pakar ergonomik (sains kedudukan badan manusia di dalam kenderaan), Fadlysham menggunakan pengetahuan beliau untuk menghasilkan rig SimGearz.

"Model pertama yang saya bina dibeli oleh seorang pelatih pemanduan dari AMG Malaysia. Beliau berpuas hati dengan kualiti dan posisi tempat duduk, pedal dan stereng pada SimGearz."

 

 

Oleh kerana terlalu suka dengan SimGearz, pelatih itu terus mencadangkan rakan-rakannya yang lain dari kelompok pelumba kereta profesional tempatan untuk mencuba dan membeli rig SimGearz.

SimGearz mendapat perhatian ramai apabila selebriti Zizan Razak sendiri membeli satu unit dan menampilkannya di dalam laman Instagram beliau sendiri.

Sejak dari itu, produk SimGearz terus menjadi buruan ramai pelumba sim profesional dan separa profesional.

 

Sim seat

 

Bahagian besi menggunakan tiub aluminium sementara dek posisi unit stereng menggunakan besi karbon setebal 5 mm yang melalui proses powder-coating.

Beliau juga ada menghasilkan stereng ala Formula 1, dan balutan kulit itu pula dijahit Fadlysham sendiri!

Tempat duduk pula boleh dipilih dan Fadlysham membelinya dari pengedar tempatan. Untuk mereka yang lebih serius, Fadlysham boleh memasang kit khas untuk meletakkan tiga skrin LCD sekaligus!

Ada empat model utama untuk SimGearz dan harganya bermula dari RM1,700 sehingga RM3,500, tanpa kelengkapan elektronik. Harga itu tidak termasuk kos penghantaran dan untuk mereka di Lembah Kelang, Fadlysham boleh datang untuk memasangnya dengan harga RM150.

 

 

"Memang ini bukannya peralatan biasa. Saya memang sarankan untuk yang baharu menceburkan diri dalam permainan perlumbaan sim ini agar membiasakan diri dahulu.

Bila sudah rasa ada keperluan untuk menggunakan tempat duduk sim ini, barulah boleh keluar modal untuk membelinya sebab bukan semua orang minat atau boleh mengadaptasikan diri dengan perlumbaan video," kata Fadlysham dengan jujur.

Rata-rata pemilik tempat duduk SimGearz ini berpuas hati dengan kualiti dan rekabentuk produk Fadlysham ini kerana menurut mereka, ia sangat hampir kepada kedudukan sebenar di dalam kereta lumba.

 

 

Ada juga yang mahukan Fadlysham membuat sedikit modifikasi agar lebih sesuai dengan kenderaan mereka kerana ada yang mahu set-up ala kereta drift, jentera litar atau kenderaan rally.

Barang yang baik pasti dicari dan SimGearz sudah dijual di Singapura, Brunei dan Indonesia.

Malah Persatuan Perlumbaan Sim Singapura (Singapore Sim Racing Association) sendiri membeli emapt unit SimGearz untuk dipasang setiap kali mereka mempunyai pertandingan.

"Tempat duduk SimGearz ini memang mahal tetapi jauh lebih mampu milik dari jenama luar negara," kata Fadlysham.

Penulis juga lihat tidak ada bucu-bucu tajam pada rekabentuk SimGearz ini dan ini penting untuk mereka yang ada anak-anak di rumah. 

Syabas, dan semoga lebih ramai anak-anak Malaysia yang lebih berani untuk berdikari dan mengembangkan sayap ke luar negara.

Di bawah ialah video dari selebriti Alif Satar yang turut menggunakan SimGearz! 
 

 

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Ia membawakan kerangka aluminium biru anodized sebelum dikemaskan dengan penjenamaan Ford GT, jalur…
Berita Global
Disebabkan itu, Hexagon kini bekerjasama dengan Fujitsu bagi membolehkan para pelanggan Cradle CFD…
Berita Domestik
Di bawah perjanjian ini, Altair akan membekalkan kepakaran di dalam simulasi bagi membantu Gemilang…