Selain dari Dr Zulkifli, perisian sistem itu akan dibangunkan oleh Asri Ismail dari Software Wizard.
Kedua-dua individu itu sebenarnya adalah peserta perlumbaan RimbaRaid 2022 yang berlangsung di Kuala Tahan awal bulan lalu.
Sistem tersebut bukan sahaja mampu membantu dalam memberikan maklumat pemasaan perlumbaan tersebut, tetapi turut berkebolehan untuk memberikan data navigasi dan amaran keselamatan bagi peserta-peserta perlumbaan.
Kapten Nik berkata prototaip sistem tersebut telah digunakan semasa perlumbaan terakhir dan unit itu dipasang pada ATV yang digunakan oleh kumpulan paramedik. Ia terbukti mampu mengesan kedudukan semua pelumba pada setiap masa, mengurangkan risiko kehilangan peserta.
Sistem integrasi Racer Guidance Tracking, Navigation and Live Recording itu juga mampu memberikan arahan semasa seperti halaju maksimum yang perlu dipatuhi, amaran tentang risiko-risiko atau gangguan semasa di laluan dan juga arahan peta untuk perlumbaan.
Ia turut boleh digunakan oleh peserta untuk menghantar signal bantuan kecemasan dan pasukan perubatan boleh terus ke lokasi dengan segera.
Selain dari itu, penonton juga mampu mengetahui lokasi dan kedudukan setiap pelumba dan membolehkan mereka mengikuti perkembangan perlumbaan dengan lebih tepat.
"Sistem yang dibangunkan secara tempatan ini akan membolehkan perlumbaan RimbaRaid menjadi lebih menarik kerana mampu membolehkan perlumbaan berlangsung lebih dari satu hari dan berada di lokasi-lokasi berlainan.
Sistem navigasi satelit lengkap itu juga boleh memberikan amaran kelajuan bila pelumba perlu menggunakan laluan jalanraya awam untuk ke pusingan seterusnya," ujar Kapten Nik melalui perbualan telefon dengan Careta.
Petugas RimbaRaid turut boleh memantau untuk memastikan pelumba tidak melebihi halaju maksimum yang dibenarkan bila menunggang di jalanraya awam.
RimbaRaid 2022 berjaya menarik lebih ramai pelumba asing dan menjadikan ia acara perlumbaan motosikal cabaran tempatan yang paling berjaya setakat ini.