Sistem pemantauan pemandu & penumpang, dan kawalan lampu adaptif Mitsubishi EMIRAI xS Drive diperlihatkan

oleh Mohamad Hanif|
Mitsubishi Electric Corporation baru-baru ini memperlihatkan sebuah model konsep yang dinamakan sebagai EMIRAI xS Drive.
AION MREC Banner Campaign May 2024

Ia dilengkapi dengan kamera infra-merah dan penderia gelombang radio yang dikatakan mampu memantau keadaan pemandu dan penumpang, selain sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) yang menawarkan ciri kawalan lampu hadapan adaptif.

Dengan menggunakan kamera dan penderia yang disebutkan tadi, sistem ini mampu untuk mengesan perubahan keadaan pemandu berdasarkan ekspresi muka (mata tertutup, mulut terbuka dan sebagainya), serta informasi lain seperti degupan jantung dan kadar pernafasan.
 

EMIRAI


Ia mampu dicapai, terima kasih kepada teknologi pengecaman muka dan pemprosesan imej yang mampu mengesan perubahan kecil pada tona kulit disebabkan perubahan pada degupan jantung, gegaran kenderaan serta perubahan cahaya ambien.

Sekiranya sistem dapat mengesan perubahan itu tadi, ia akan mencadangkan pemandu supaya berhenti berehat atau mengaktifkan fungsi parkir kecemasan automatik bagi mengelakkan sebarang kemungkinan kemalangan.
 

EMIRAI


Bagi mengelakkan sebarang insiden tertinggal anak di dalam kenderaan, sistem ini akan menggunakan kamera infra-merah untuk mengesan kehadiran penumpang belakang, selain menggunakan posisi kepala dan titik rangka penumpang bagi menentukan saiz badan.

Sementara penderia gelombang radio pula digunakan bagi mengesan kehadiran kanak-kanak yang mungkin terlindung pada titik buta kamera itu tadi.
 

EMIRAI


Untuk keselamatan pemanduan ketika waktu malam, sistem kawalan lampu adaptif akan menggunakan High-Definion Locator (HDL) dan Driver Monitoring System (DMS) bagi membolehkan unit lampu utama disesuaikan dengan jalan di hadapan (termasuk selekoh dan cerun), serta arah pandangan pemandu.

Ini bermakna, apa jua arah yang dilihat oleh pemandu serta kemungkinan halangan berbahaya seperti kenderaan atau pejalan kaki di hadapan akan disuluh dengan lebih terang.

Untuk menyokong ciri di atas, Mitsubishi turut menggunakan kamera luaran serta radar gelombang milimeter bagi memberikan amaran kepada pemandu berkenaan potensi bahaya yang ada di hadapan.