Sistem pembayaran terbuka KTMB dilancarkan, pelbagai pilihan kaedah pembayaran di 80 stesen

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari KTMB
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook melancarkan Sistem Pembayaran Terbuka Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), yang kini tersedia di semua stesen Lembah Klang dan semua stesen Komuter Utara termasuk Ipoh, melibatkan 80 stesen pada Khamis.

Loke berkata, dengan pelancaran sistem yang membolehkan pengguna membuat pembayaran perjalanan menggunakan kad debit, kad kredit dan pembayaran digital e-dompet itu di pintu kawalan automatik, ia memudahkan proses pembayaran dengan mengambil masa sesingkat satu hingga lima saat.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

"Ini tersedia untuk kemudahan komuter sahaja dan tidak melibatkan ETS, kerana ETS memerlukan pengguna membeli sacara dalam talian, kerana melibatkan pemilihan tempat duduk tertentu dan terhad," katanya selepas melancarkan Sistem Pembayaran Terbuka KTMB di stesen KTMB Ipoh, dekat Ipoh.

Dalam ucapannya, Loke berkata Sistem Pembayaran Terbuka yang bermula pada bulan September 2022 bermula di Lembah Klang dan siap pada akhir tahun lalu.

"Dalam tempoh setahun lebih, kerja transformasi kepada sistem terbuka, telah siap sepenuhnya.

"Projek ini dibiayai secara penuh oleh KTMB melalui dana dalaman, tanpa apa-apa suntikan dari belanja pembangunan kerajaan. Syabas ucapkan kepada KTMB atas inisiatif yang berdaya maju dan pelaksanaan yang pantas dan tepat," katanya.

Turut menzahirkan penghargaan kepada kontraktor iaitu konsortium yang diketuai oleh syarikat NSS IT, Syarikat Revenue Group, Touch 'n Go dan PayNet, yang merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan juga terlibat dalam pelaksanaan sebagai rakan kongsi, yang banyak menyumbang kepada kejayaan sistem itu.

Dalam pada itu, Loke berkata, pihaknya dalam perbincangan untuk menyediakan perkhidmatan ETS tambahan di luar musim perayaan, bagi menampung permintaan perkhidmatan itu yang semakin tinggi.

"Jika naik ETS sampai ke utara pun tak ambil masa panjang. Jadi ramai orang mula ambil perjalanan seharian tanpa bermalam. Jadi, tak mustahil untuk kita tambah kekerapan bagi penggunaan harian selepas ini," katanya.

Sementara itu, Suhaimi berkata, tahun lalu, perkhidmatan 'intercity' telah merekodkan kenaikan penumpang sebanyak 81 peratus, peningkatan daripada 2.2 juta pada tahun 2022 kepada 4.25 juta penumpang.

"ETS merekodkan peningkatan 26.4 peratus dan KTM komuter juga mencatatkan peningkatan yang membanggakan iaitu 15.3 peratus.

"Kami yakin melalui inisiatif pendigitalan ini, kita akan dapat menarik lebih ramai pengguna atau pelancong ke negeri ini (Perak)," katanya.

Dalam pada itu, Suhaimi berkata bagi mendukung landskap pendigitalan negara, KTMB juga memperkenalkan program kesetiaan iaitu 'Rail Rewards' pada 1 Januari tahun ini, yang menawarkan mata ganjaran bagi setiap pembelian tiket menerusi aplikasi 'KTMB Intergrated Ticketing System' (KITS).

"Mata ganjaran ini kemudiannya boleh ditebus untuk pembelian tiket tren yang seterusnya.

"Selanjutnya, aplikasi KITS akan memasuki fasa pengembangan seterusnya pada suku kedua 2024, menjadi platform Mobility As A Service (MaaS) SuperApp, yang akan menyediakan berbilang perkhidmatan nilai tambah, termasuk tempahan penginapan, makanan, perkhidmatan kewangan dan jaringan pengangkutan perbatuan awal dan akhir," katanya.

 

Bernama