
Kepercayaan itu bukan baharu dan Škoda telah membangunkan enjin MPI untuk siri tersebut dan tugas baharu melibatkan unit TSI.
Škoda juga bertanggungjawab dalam pembangunan platform MQB A0 Global dan brek gelendong untuk kumpulan.
Selain Superb generasi baru, Volkswagen Passat baharu turut dibangunkan di Mladá Boleslav, Republik Czech.
Škoda bukan baharu dalam pembangunan enjin dan boleh dijejaki lebih seratus tahun lalu.
Seawal 1905, Laurin & Klement (nama asal) tampil dengan kereta pertama Voiturette A yang dikuasakan enjin 1.0 liter sejukan cecair.
Tradisi membangunkan enjin dan mengeluarkan kereta di Mladá Boleslav diteruskan walaupun berada di dalam Kumpulan Volkswagen.
Pada 1997, pengeluaran enjin 1.0 MPI bermula di Mladá Boleslav dan Škoda turut membekalkannya kepada pengeluar lain di dalam kumpulan.

Enjin 1.2 HTP EA 111 (sebelum siri EA 211 sekarang) juga dibangunkan secara dalaman.
Dalam tempoh hampir 15 tahun pengeluaran, enjin tiga silinder itu digunakan pada lebih 3.5 juta unit kenderaan Kumpulan Volkswagen.
Pengeluaran siri enjin EA 211 jenis MPI bermula di Mladá Boleslav pada 2012.
Tidak lama selepas itu, Škoda diberi tanggungjawab untuk pembangunan penuh unit kuasa MPI bagi kumpulan.
Pada 2014, Škoda membuka pusat enjin baharu dan mempunyai kapasiti dan teknologi bagi membangunkan keseluruhan siri enjin.
Siri EA 211 sekarang ini mempunyai pelbagai jenis, dari tiga dan empat silinder dengan sesaran 1000cc hingga 1600cc dan julat kuasa 65ps sehingga lebih 150ps.
Enjin itu boleh diisi petrol, CNG atau etanol dan boleh dipadan bersama sistem mild hybrid atau hibrid plug-in.
Unit MPI merujuk kepada enjin naturally-aspirated dengan sistem pancitan bahan api pelbagai sudut (multipoint).

Enjin TSI pula bermaksud Turbo Stratified Injection yang menggunakan sistem desakan aruhan (forced induction) dan lebih berkuasa dan bertenaga.
Di antaranya 1.0 TSI, 1.4 TSI (model hibrid plug-in seperti Superb iV) dan 1.5 TSI pada Fabia, Octavia, Karoq dan Kodiaq.
Bukan setakat berkuasa, enjin itu juga mempunyai kadar penggunaan bahan api yang ekonomikal.
Škoda akan terus menambah baik enjin tersebut selain menyesuaikannya mengikut keperluan dan peraturan di pelbagai negara.
Objektif yang mahu dicapai ialah membangunkan enjin yang lebih berkuasa dan cekap tenaga dengan emisi lebih rendah dan penekanan kepada ketahanan.
Penulis: Muhammad Md Tajudin