Skuad 42 ada kuasa saman, tangkap pesalah trafik tak kira tempat

oleh Mohamad Hanif|
Skuad 42 yang ditubuhkan bagi membanteras kegiatan lumba haram boleh mengeluarkan saman dan tangkapan ke atas penunggang motosikal di mana-mana sahaja dan tidak terhad ketika operasi.

PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Anggota dan pegawai skuad berkenaan mempunyai kuasa mengeluarkan saman dan membuat tangkapan selepas menjalankan risikan dan pemerhatian serta semakan dengan menggunakan alat peranti sistem pembayaran kompaun dalam talian mudah alih (MCOPS) terhadap mereka yang didapati mempunyai kesalahan trafik.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, proses saman yang dijalankan mengikut prosedur bermula dengan pemerhatian dan pengecaman terlebih dahulu terhadap penunggang motosikal berkenaan.

Katanya, sebelum saman dikeluarkan, anggota akan membuat semakan menggunakan sistem MCOPS terlebih dahulu.

"Cara polis menahan dan mengeluarkan saman di premis juga adalah wajar dan berupaya mengurangkan risiko kemalangan terhadap pesalah trafik dan anggota polis yang menjalankan tugas berkenaan.

"Kaedah ini adalah salah satu cara dalam operasi Skuad 42 dalam mencegah dan menangkap mereka yang terbabit lumba haram," katanya kepada Harian Metro.

Chang Hook berkata demikian sebagai mengulas tular di Facebook video mengenai seorang wanita yang mempertikaikan tindakan polis mengeluarkan saman ke atas remaja 16 tahun ketika sedang makan di sebuah kedai di Mahsan di sini tanpa mengetahui kebenaran tindakan anggota terbabit.

Bagaimanapun video berkenaan didapati sudah dipadam selepas warganet mempersoalkan tindakan wanita yang mempertikaikan saman dikeluarkan polis.

"Remaja berkenaan disaman Ahad lalu selepas anggota polis dalam op motosikal dengan berpakaian awam melakukan pemantauan risikan di sekitar Taman Mahsan.

"Ketika pemantauan dijalankan kira-kira jam 3 petang, polis mendapati terdapat seorang lelaki menunggang motosikal Yamaha Y15 berwarna merah tanpa memakai topi keledar dan tidak memiliki nombor pendaftaran hadapan.

"Polis kemudian mengekori motosikal berkenaan sehingga ke kedai makan berkenaan dan apabila sampai memperkenalkan diri sebelum memanggil remaja berkenaan.

" Remaja berkenaan mengaku menunggang motosikal berkenaan dan pemeriksaan mendapati terdapat kesalahan trafik yang dikesan antaranya tidak mempunyai lesen memandu yang sah, tiada nombor pendaftaran (hadapan) dan aksesori tidak sempurna," katanya.

Chang Hook berkata berikutan itu, polis mengeluarkan tiga saman kepada penunggang motosikal berkenaan.

Sumber: Harian Metro