
Saiz smart #1 bukan lagi comel lotey seperti fortwo dan sudah berkembang kepada saiz crossover.
Menambah lagi tarikan buat pasaran ialah versi sporti smart #1 BRABUS.
Hubungan smart dan BRABUS telah berlangsung lama atau lebih tepat sejak Mac 2002 lagi. Model yang ditawarkan pastilah si comel fortwo dan forfour.
smart #1 BRABUS tampil dengan komponen luaran dan dalaman yang menjadikannya lebih agresif dan istimewa.

Di antara kelengkapan yang dipasang ialah gril, lips atau air curtain bampar depan, spoiler bumbung yang kesemuanya mempunyai riasan atau berwarna merah.
Roda asal diganti dengan roda 19 inci dynamo dan mempunyai corak berbeza daripada roda BRABUS lain yang biasa dilihat.
Dari depan, smart #1 nampak sama dengan model biasa tetapi ada perbezaan dengan liang bampar yang mempunyai sirip dan dua bukaan pada muncung bonet.
Pada bahagian dalam, kerusi dibalut suede mikrofiber dengan logo BRABUS, stereng balutan Alcantara dan kulit dan tali pinggang keledar warna merah.
Satu lagi komponen menarik ialah penghadang matahari jenis lut cahaya yang nampak bergaya dan pedal aloi.

Berkenaan rangkaian kuasa, maklumat terperinci belum diberikan dan sebagai rujukan smart #1 pasaran China ditawarkan dalam dua varian iaitu Pro+ dan Premium.
Kedua-duanya digerakkan motor elektrik pacuan belakang dengan kuasa 200 kW (268 hp) dan daya kilas 343 Nm.
Bateri yang dibekalkan berkapasiti 66 kWj dengan jarak gerak 420 km sehingga 440 km mengikut standard WLTP.
Tentang harga, smart #1 dijual pada 190,000 yuan (RM126,120) dan 230,000 yuan (RM152,671) untuk varian Premium.
smart #1 sudah disahkan untuk memasuki pasaran tempatan pada suku keempat 2023.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
