smart #5 diperkenal, SUV elektrik tampil rugged, jarak lebih 700 km!

oleh Muhammad Md Tajudin|
smart #5 2025
smart #5 2025
Dua buah model sahaja tidak cukup bukan? Selepas #1 dan #3, smart #5 mengambil giliran dan menariknya pengenalan perdana di buat di Australia.

Tidak seperti dua model sebelum ini, smart #5 adalah sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) premium saiz sederhana.

smart #5 juga tidak seperti SUV lain dengan gaya bandar tetapi membawa konsep utilitarian untuk pemanduan off-road dan gaya hidup luar.

Direka oleh Mercedes-Benz, gaya bucu membujur dan permukaan lembut masih menebal dan bahagian sisi nampak seperti Mercedes-Benz GLB.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02
smart #5 2025

 

Bentuk gugusan lampu depan dan belakang juga dibuat membujur atau oblong. Reka bentuk Mercedes-Benz dan BMW ibarat dua kutub dunia yang berbeza.

Lagi ciri smart #5 seperti pintu tanpa bingkai, bumbung panoramik dan juntaian depan dan belakang yang pendek.

smart #5 memiliki ukuran panjang 4,705 milimeter (mm) dan jarak roda 2,900 mm. Sebagai perbandingan, ukuran panjang Proton X70 ialah 4,519 mm dan jarak roda 2,670 mm.

Perumah cermin sisi dalam dua warna dan menariknya logo smart pada tengah rim kekal pada kedudukan walaupun roda berputar.

 

smart #5 2025

 

Bahagian luar yang rugged berbeza dengan bahagian dalam ibarat studio teknologi.

smart #5 dilengkapi skrin papar pandu realiti terimbuh (HUD AR) saiz 25.6 inci, skrin LCD Ultra HD 10.3 inci untuk pemandu dan dua paparan AMOLED 2.5K 13 inci.

Sistem bantuan suara kecerdasan buatan (AI) mampu menjawab pelbagai soalan dan seperti biasa, pemandu boleh menggunakan arahan suara untuk tetapan kenderaan.

Avatar singa bernama Leo membantu pemandu dengan memberi panduan untuk tetapan dan larasan seperti suhu, navigasi dan pelbagai lagi.

 

smart #5

 

Untuk tindak balas yang lancar, smart #5 menggunakan cip AMD V2000 dan sistem operasi (OS) berasaskan Unreal Engine.

Berbeza daripada #1 dan #3 yang dilengkapi sistem bunyi Beats, smart #5 menggunakan sistem Sennheiser dengan 21 pembesar besar suara termasuk satu unit mudah alih.

Sistem hiburan juga mempunyai projektor terbina dalam dan dipadan bersama sistem bunyi Sennheiser.

Lampu suasana dengan 256 warna turut berirama dengan ritma muzik. 

 

smart #5

 

Dari segi praktikaliti, smart #5 menyediakan 34 ruang simpanan, ruang belakang sehingga 1,530 liter dan frunk (but depan) 72 liter.

Kerusi depan balutan kulit sifar graviti mempunyai rebahan 121 darjah dan kesemua kerusi boleh dilaras untuk ruang king, queen atau tempat tidur tunggal di dalam kokpit.

Ruang kepala bahagian belakang berukuran 1,060 mm dan turut dilengkapi pemanas, larasan penyandar, penghadang matahari elektrik dan lampu bacaan LED ala pesawat.

Mod satu butang keselesaan menawarkan lebih ruang kaki untuk penumpang. Makmal teknologi dan hiburan bergerak smart #5 juga dihiasi ciri kemewahan melalui riasan oak.

 

smart #5

 

Gambar smart #5 dengan kelengkapan kembara adalah versi Summit Edition yang dilengkapi lampu bumbung, pelindung bawah badan, tangga tepi dan sebagainya.

smart tidak berkongsi banyak mengenai rangkaian kuasa kecuali menggunakan pelantar 800 volt yang membolehkan pengecasan pantas dan jarak pemanduan jauh.

Bateri 100 kilowatt-jam (kWj) mempunyai fungsi pengecasan super pantas (4C) dan hanya perlu 15 minit untuk penambahan kuasa dari 10 sehingga 80 peratus.

smart juga memaklumkan jarak pemanduan sehingga 740 kilometer (CLTC) boleh dicapai!

 

smart #5 2025

 

Gaya off-road turut dipadan dengan keupayaan pemanduan melalui mod Adaptive, Sand, Snow, Mud dan Rock.

Konsep aktiviti luar diteruskan lagi melalui kerjasama dengan pengeluar basikal Trek dan Heimplanet yang menyediakan khemah The Cave.

Melalui pakej hebat yang ditawarkan, bila agaknya smart #5 ditawarkan di pasaran tempatan? Mungkin tidak lama seperti yang ditunjukkan pada #1 dan #3.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

smart #5 2025