Berdasarkan beberapa laporan, smart #1 versi pantas itu bakal mendapat talaan rasmi daripada Brabus, menampilkan beberapa ciri yang unik seperti yang ditunjukkan di dalam video ringkas tersebut.
Antaranya seperti penampilan warna dua tona dengan bumbung berwarna merah, jeriji hadapan beriluminasi merah, spoiler belakang yang lebih besar, serta rekaan rim aerodinamik baharu.
Sementara ruang kabin pula menampakkan kehadiran butang fungsi Driving Mode, menandakan terdapat beberapa mod pemanduan termasuk mod Sport yang bakal ditawarkan pada model #1 Brabus itu, serta diiringi dengan runut bunyi elektrik yang lebih bertenaga.

Di pasaran China, smart #1 dilengkapi dengan motor elektrik berkuasa 264 hp, dan versi Brabus dijangka akan menawarkan tetapan dua motor elektrik dengan sistem pacuan semua roda, dan angka output setinggi 400 hp.
Pek bateri 66 kWh itu mungkin akan dikekalkan dengan julat operasi yang lebih pendek berbanding 440 km pada model asal, sementara sistem gantungan juga mungkin akan mendapat tetapan baharu untuk pengendalian yang lebih baik.
smart dijangka akan memperkenalkan #1 Brabus itu dalam masa terdekat, sebelum pelancaran rasmi dijadualkan berlangsung pada tahun 2023.

Untuk pasaran Malaysia, tidak dapat dipastikan sama ada pengedar rasminya Proton Edar akan membawa masuk versi pantas ini, namun yang pasti versi bukan Brabus telah disahkan akan memasuki pasaran Malaysia pada tahun depan.
Berdasarkan laporan terdahulu, CEO Proton Roslan Abdullah mengesahkan #1 merupakan salah satu daripada tiga model baharu yang akan diperkenalkan oleh Proton dalam masa dua tahun akan datang.
Teaser smart #1 Brabus