Secara amnya, pasaran Malaysia masih lagi kukuh kepada enjin kuasa petrol.
Ini ialah kerana ramai yang takut untuk menerima enjin-enjin diesel. Alasan mereka, diesel hanya untuk teksi dan lori.
Namun dari pengalaman Careta, 90 peratus yang memandu uji kenderaan diesel modern akan terus bertukar fikiran mereka kerana tenaga dan penjimatan bahan api yang terlalu sukar untuk ditolak.
Sebagai contoh, Kia Sportage 2.0L petrol menghasilkan:
- 157 PS pada 6,200 rpm
- 196 Nm pada 4,000 rpm
- Setangki petrol pula mampu mencapai perjalanan tidak lebih dari 500 km
Lihat pula Kia Sportage 2.0L CRDi diesel yang mampu mengahmburkan kuasa setinggi:
- 186 PS pada 4,000 rpm
- 400 Nm dari 1,750 hingga 2,750 rpm
- Setangki diesel mampu mencapai lebih dari 700 km
Careta sebelum ini sudah beberapa kali mencuba Sportage 2.0L petrol dan mendapati prestasi enjinnya biasa sahaja.
Semalam, Careta diberi peluang membawa Sportage 2.0L CRDi diesel dari Rantau, Negeri Sembilan ke Melaka melalui jalan-jalan persekutuan dan juga lebuhraya PLUS.
Prestasi pengendalian, keselesaan dan kemasan adalah sama seperti varian petrol cuma bila kaki kanan menjadi aktif untuk menekan pedal pendikit, Sportage ini mula menderum dan mengeluarkan taring sebenarnya.
Kadar tork yang tinggi pada kelajuan enjin rendah memudahkan kami melakukan operasi memotong kenderaan-kenderaan yang lebih perlahan dari kura-kura bunting.
Transmisi 6-kelajuan auto itu memadai, tetapi untuk mengatasi masalah turbo-lag ketika kita bersedia untuk memotong kura-kura itu, Careta rasa lebih mudah jika ia dibiarkan di dalam gear 3.
Dengan cara itu, turbo sudah sedia beroperasi untuk memotong. Jika tidak, turbo lag akan membuatkan kita terpaksa menunggu seketika sebelum 400 Nm itu menendang masuk.
Di lebuhraya, ia dengan pantas memanjat kepada kelajuan maksimumnya, hampir kepada 190 km.
Kesimpulannya, Sportage 2.0L petrol itu ialah lagu sentimental nyanyian Siti Fairuz sementara Sportage 2.0L CRDi diesel itu adalah seperti lagu Pelesit Kota oleh Search.
Lebih memeranjatkan lagi ialah Sportage diesel itu datang dalam bentuk pacuan empat roda Dynamax AWD.
Spesifikasi kelengkapan juga sangat premium - lampu HID, DRL dari jenis LED, roda aloi 19-inci (menabunglah untuk menggantikan tayar nanti ya), skrin TFT LCD 4.2 inci, pendingin hawa dua zon, kerusi hadapan kawalan elektrik, balutan kulit mewah, sistem keyless dan butang Push Start, Driving Mode (Eco, Normal dan Sport), enam beg udara, ESC dan berjela lagi kelengkapan.
Harga Sportage diesel yang sporti ini hampir mencecah RM160,000 tetapi kami percaya pengedar Kia terdekat anda mampu memberikan diskaun-diskaun.
Amaran kami, jangan cuba pandu uji kerana anda mungkin mengalami masalah untuk tidur malam kerana teringatkan prestasi SUV cilik ini.
Untuk mereka yang memerlukan SUV yang lebih besar, pastinya Sorento tetapi pada awal pelancaran Sorento terbaharu ini, varian diesel hanya datang dengan spesifikasi Ala Kadar.
Ramai yang merasakan ia adalah satu kerugian kerana Sorento 2.2 CRDi dengan 200 PS dan 441 Nm ialah varian yang terbaik jika dibandingkan dengan varian petrol 2.4L yang mempunyai prestasi suam-suam kuku itu (172 PS dan 230 Nm).
Akhirnya Naza Kia melancarkan varian Sorento 2.2 CRDi diesel High Spec dan Careta telah memandunya dari Bukit Katil di Melaka ke Jasin (mengikut jalan persekutuan) dan langsung ke Johor Bahru melalui lebuhraya PLUS.
Sememangnya prestasi dari enjin 2.2 CRDi itu sukar untuk dinafikan, kecuali anda memandu sebuah BMW 318i F30 berwarna hitam yang rimas kerana tidak dapat lari dari Sorento CRDi.
Dari segi harga, sememangnya RM191,888 bukanlah sesuatu yang murah. Namun, harga itu hampir menyamai apa yang ditawarkan oleh Toyota Fortuner dan lebih rendah dari Ford Everest.
Mungkin Sorento tidak mempunyai sistem 4X4 seperti Fortuner dan Everest, tetapi lebih kepada sistem AWD yang sesuai untuk jalan bertar.
Kerangka monocoque Sorento juga tidak sekukuh kerangka ladder-frame Fortuner dan Everest.
Ini ialah kerana Sorento lebih direka sebagai sebuah SUV urban dan ia lebih afdal untuk dibandingkan dengan SUV-SUV bandar lain seperti Renault Koleos atau Toyota Harrier.
Kerana itu, Sorento mempunyai kualiti pemanduan yang jauh lebih selesa dari SUV berdasarkan trak pikap seperti Fortuner, Pajero Sport, Everest atau Mu-X.
Kabin Sorento ini juga memukau mata. Mewah, modern dan bertenaga, ia memberikan jarak perjalanan lebih dari 700 km setangki (mengikut kiraan dan pemanduan Careta yang agresif).
Sebenarnya, Careta rasa ia adalah SUV paling berbaloi dalam kategori harga RM200,000.
Pandu uji sendiri dan Careta pasti anda akan pulang ke rumah dengan murung kerana anda akan mahukan Sorento CRDi itu.
Kesimpulannya, dua SUV diesel dari Kia ini mensasarkan pasaran matang dan mahukan sebuah kenderaan yang menjimatkan.
Cuma untuk kami di Careta, Sorento diesel itu nampaknya lebih menarik.