Rekaan terbaharu Spirit of Ecstasy ini 'lahir' dari ukiran digital yang dihasilkan di dalam komputer dan ujian dalam terowong angin di mana proses keseluruhan mengambil masa kira-kira 830 jam (lebih sebulan!) sebelum ia dikemaskan dengan menggunakan tenaga tangan.
Model pertama yang bakal dipasangkan dengan hiasan Spirit of Ecstasy itu merupakan model elektrik Spectre.

Menurut Rolls-Royce, rekaan yang ditampilkan pada hiasan ini juga merujuk kepada hala tuju dan masa depan jenama itu.
Berbanding hiasan yang terdahulu, Spirit of Ecstasy kini jauh lebih aerodinamik dengan rekaan yang lebih licin dan posisi lebih menunduk, dan dimensi yang lebih pendek, sekitar 82.73 mm sahaja (dimensi asal 100.01 mm).

Ini amat bertepatan dengan konsep yang dibawakan oleh Spectre (dan mana-mana EV) di mana aspek aerodinamik mampu menyumbang kepada jarak dan keberkesanan sesebuah EV.
Malah, menurut Rolls-Royce, model Spectre mempunyai kadar pekali seretan serendah 0.26, menjadikan ia sebuah model Rolls-Royce yang paling aerodinamik pernah dihasilkan.