
Buat masa ini, Xiaomi belum sahkan apa-apa secara rasmi, tapi ini petanda jelas mereka serius masuk ke pasaran SUV mewah jarak jauh. Berdasarkan gambar intipan di media sosial China, YU9 dijangka panjang sekitar 5.3 meter, dengan konfigurasi enam atau tujuh tempat duduk. Ia akan bersaing dengan SUV seperti Li Auto L9 dan Aito M9.
Tidak seperti SU7 dan YU7 yang sepenuhnya EV, YU9 dikhabarkan guna enjin 1.5 liter turbo (mungkin dari Dong’an Power) sebagai penjana kuasa tambahan untuk sistem hibrid jarak lanjutan. Gabungan ini dijangka hasilkan lebih 400 hp, dengan sistem pacuan semua roda (AWD) dwi-motor. Pecutan 0–100 km/j sekitar 5 saat. Jarak pemanduan elektrik penuh lebih 200 km, manakala gabungan jarak pemanduan boleh cecah hingga 1,500 km hampir setanding Li Auto L9.

Rekaan luaran nampak maskulin dan tegak gaya SUV mewah sebenar. Ia juga mungkin dilengkapi unit LiDAR atas bumbung, petanda ciri bantuan pemanduan termaju (ADAS). Beberapa orang bandingkan bentuknya dengan Rolls-Royce Cullinan, tapi tu sekadar spekulasi.
Interior masih misteri, tapi dijangka bawa gaya sama macam SU7: skrin besar, kluster digital boleh pusing, dan sistem operasi HyperOS yang integrasi dengan produk ekosistem rumah pintar Xiaomi. YU9 juga jadi model pertama Xiaomi dengan pilihan tempat duduk 2+2+2 atau 2+3+2, bersama ciri stereng roda belakang untuk pengendalian lebih baik.

Dari segi harga, ia dijangka bermula sekitar 359,800 yuan (RM234,000), manakala varian paling mahal kekal bawah 500,000 yuan (RM325,000). Ini mengekalkan strategi Xiaomi: spesifikasi tinggi, harga rendah, walaupun mereka masih kekurangan rangkaian servis selepas jualan berbanding pesaing besar seperti Huawei atau Li Auto.
Tarikh pelancaran rasmi belum diumumkan, tapi jangkaan awal menyebut tahun 2026. Jika betul, ini akan jadi SUV flagship pertama Xiaomi dan pembuka jalan ke arah model lebih besar, lebih mewah, dan lebih sesuai untuk kegunaan keluarga.
