Starlet Kambing - Apa yang anda perlu tahu

oleh HEZERI SAMSURI|

 

Toyota Starlet di zamannya ialah umpama Honda Jazz sekarang - hatchback kecil yang menjadi idaman.

Tidak seperti Jazz yang modern, Starlet ini tidak begitu banyak dijual dan kebanyakannya telah mereput. 

Kerana kesukaran mendapatkannya, ia menjadi antara model kereta 80-an yang paling dicari-cari oleh peminat, baik di Jepun, di Eropah, di Asia atau di US.

Di Malaysia, Toyota Starlet ini masih lagi ada dijual jika rajin mencari. Untuk yang berangan mahu mencari sebuah, Careta duduk bersama Mohd Muhadzir Rahmad atau Che' Det di kalangan ahli kelab Starlet KP Malaysia.

 

 

Pemilik syarikat latihan teknikal ini juga mempunyai bengkel beliau sendiri, memudahkan Muhadzir untuk merungkai dan membina semula kenderaan yang hendak beliau baik-pulih.

"Saya pilih Starlet KP kerana Corolla KE70 sudah terlalu banyak dibaik-pulih," jawab beliau bila ditanya kenapa memilih hatchback Toyota ini sebagai kereta hobi.

"Starlet KP pertama saya dibeli di Semabok, Melaka. Kereta tahun 1984 itu saya beli dengan harga RM1,800. Saya baik-pulih dan nasib tak baik, kereta dicuri ketika parkir di rumah," ujar beliau yang tinggal di Taman Desa Serdang.

 

 

"Saya cari sebuah lagi, dan terjumpa sebuah di Teluk Intan. tetapi saya jual pula kepada kawan di dalam kelab yang mahu memulakan kerja baik-pulih," samnbungnya.

"Jadi saya pun beli sebuah lagi Starlet KP61 tahun 1984 dari seorang rakan yang beralih minat. Harganya RM1,500."

Muhadzir kini dalam proses hendak memulakan usaha baik-pulih bagi unit yang ada di dalam gambar ini. Beliau sudah pun menukar sedikit komponen seperti:

  1. Karburetor asal diganti dengan unit dari Proton Saga 12V (tapak ditukar)
  2. Radiator pula dari Perodua Kancil 850
  3. Sistem gantungan ditukar kepada penyerap hentak bolehlaras (adjustable)
  4. Pam brek diambil dari Mazda Miata
  5. Tapak pillow-ball sistem gantungan dari Nissan Silvia S13.

 

 

Oleh kerana beliau sudahpun membaik pulih beberapa unit Starlet KP ini, beliau kongsikan fakta dan nasihat berguna untuk mereka yang mahu membeli sebuah Kambing ini.

1. Starlet model KP ini dipanggil kambing kerana ada logo kepala kambing gunung di stereng asalnya.

2. Harga pasaran sekarang ialah dari serendah RM3,000 sehingga RM4,000 untuk unit yang belum dibaik-pulih.

3. Pastikan geran pemilikan ada. Jika tiada, kerja tukar nama akan menjadi rumit.

 

 

4. Masalah utama Starlet KP61 ialah karat. Umpama kanser, ia boleh muncul kembali jika tidak dibaiki dengan sempurna. Kawasan lazim karat ialah pada longkang tepi bumbung (gutter), bawah pintu, firewall dan lantai.

 

starlet interior

 

5. Komponen plastik bergantung kepada pemilik sebelumnya. Jika dijaga, cantik. Jika tidak, akan makan masa untuk mencari satu persatu komponen plastik di dalam kabin itu. Kebanyakan komponen ada di kedai terpakai atau kedai potong. Jika dicari di e-Bay, 90 peratus yang dijual ialah sarung kusyen hodoh dan tombol gear cap ayam.

 

 

6. Komponen paling sukar dicari ialah lampu sisi hadapan atau "corner lamp". Sepasang unit terpakai boleh dijual pada harga RM200 (kika anda terjumpa di dalam gerobok ayah anda, PM admin. Admin mahu jual kepada Muhadzir dengan harga RM300).

7. Lampu hadapan Starlet KP61 ini senang digantikan kerana ia sama dengan lampu hadapan Toyota KE70, Daihatsu Feroza dan lain-lain. Indahnya zaman lampu sama cuma perumah (housing) lain.

 

 

8. Gril hadapan juga mudah dicari, tetapi bergantung kepada varian. Ini sama seperti model Proton Wira 1.3/Wira 1.6/Wira 1.8/Putra di mana gril mereka mempunyai sedikit kelainan.

9. Alat ganti enjin juga mudah didapati kerana enjin siri K ini sama dengan enjin pada Toyota Unser.

10. Perlu rajin bertanya dan masuk kelab untuk mudah mencari alatganti. 

Jika anda mahu bantuan teknikal Muhadzir, hubungi beliau di 012-912 5757 (Whatsapp).

 

Berita Berkenaan

Sukan Bermotor
Estrada Motorsport contohnya bukanlah satu nama yang tidak asing lagi dan sering kali turun dalam…
Gaya Hidup
Siapa tak kenal sama pemilik kereta “rare”ini? Beliau ialah, Jei Superkarat, salah seorang peminat…