Selaku pembuat kereta keempat terbesar di dunia, menguruskan begitu banyak jenama kereta terbukti sukar dalam industri yang semakin kompetitif.
Dalam satu laporan terkini oleh Reuters, Ketua Pegawai Eksekutif Stellantis, Carlos Tavares berkata jenama yang tidak menguntungkan akan dihentikan, "Jika mereka tidak membuat wang, kami akan menutup mereka. Kami tidak mampu untuk mempunyai jenama yang tidak membuat wang."
Tavares bagaimanapun tidak menyebut nama jenama yang berkemungkinan untuk digugurkan dari kumpulan tersebut, namun pastinya angka jualan boleh memberikan bayangan jenama yang bakal digugurkan.
Saham Stellantis tahun ini turun sebanyak 22 peratus selepas keputusan kewangan yang lebih lemah daripada jangkaan pada separuh pertama 2024.
Pendapatan operasi larasan menjunam sebanyak 40 peratus, terutamanya disebabkan oleh pasaran Amerika Utara. Pendapatan bersih turun sebanyak 14 peratus manakala keuntungan bersih menurun sebanyak 48 peratus.
Di Amerika Utara, jualan menurun sebanyak 18 peratus berbanding separuh pertama 2023. Stellantis menyatakan penghantaran menurun kerana empat model telah dihentikan, iaitu Dodge Charger dan Challenger bersama-sama dengan Jeep Renegade dan Cherokee.
Di beberapa pasaran lain, Stellantis mengalami penurunan jualan enam peratus di rantau Eropah dan Amerika Selatan. Di Timur Tengah dan Afrika, penghantaran meningkat sebanyak tiga peratus, terutamanya hasil jualan tiga kali ganda dari Fiat.
Bacaan penuh: Reuters