Stevens Cipher Coupe 1996 - Projek kereta sports Proton yang tak kesampaian

oleh Mohamad Hanif|
Laman web Car & Classic baru-baru ini telah menyiarkan sebuah model Stevens Cipher Coupe yang sangat unik untuk dilepaskan kepada pihak yang berminat.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Sekali imbas, mungkin sukar untuk meneka model apakah ini, memandangkan ia tidak dihasilkan secara besar-besaran.

Namun, mata-mata yang tajam sudah pasti dapat meneka berdasarkan beberapa bayangan seperti rim, serta susun atur ruang kabin yang digunakan - ya, sebuah Proton Putra!
 

Cipher


Projek Cipher ini sebenarnya bermula apabila Prof Anthony Stevens, pemilik syarikat Stevens Motors Company dihubungi oleh Tuwin Corporation bagi membangunkan model baharu dengan menggunakan asas daripada model Proton/Mitsubishi.

Malah, jika ia menjadi kenyataan, Cipher Coupe ini akan diproduksikan sendiri oleh Proton dengan sasaran binaan mencecah 50,000 unit di Kilang Proton, Shah Alam.

Sayang sekali, projek ini tidak menjadi kenyataan disebabkan oleh kemelesetan ekonomi, namun sebuah model prototaip lengkap telah dibina pada ketika itu dan ia kini sedia untuk dilepaskan kepada mereka yang berminat.
 

Cipher


Disifatkan sebagai rekaan terbaik yang pernah dihasilkan oleh Prof. Stevens, Cipher Coupe ini menggunakan asas daripada Proton Putra dan anda boleh melihat beberapa komponen model coupe dua pintu itu digunakan terus pada model Cipher Coupe ini, seperti contoh pemegang pintu, lampu isyarat membelok fender depan dan rim lima jejari 14 inci yang masih lagi menggunakan unit asal Proton.

Reka bentuk Cipher Coupe ini memang langsung tidak ada rupa asal Proton Putra, memandangkan ia menggunakan rekaan yang jauh lebih sporti dengan bahagian hidung yang lebih rendah, lampu utama bulat berkembar yang tertanam di dalam hud enjin, sementara rekaan bahagian belakang dilihat melandai dengan bukaan pintu yang agak besar.
 

cipher


Ruang kabin juga turut mengekalkan susun atur papan pemuka daripada Proton Putra, lengkap dengan sistem pendingin hawa, butang fungsi pada sebelah panel meter, jam digital, tombol gear manual, pelaras ketinggian suluhan lampu, meter VDO, serta tempat duduk Recaro yang asal!

Hanya reka bentuk panel pintu sahaja yang tidak mengikut rekaan asal, namun kelengkapan seperti pembuka pintu dan tingkap manual masih lagi dikekalkan.

Terdapat kesan calar pada bahagian plastik yang boleh dikesan pada ruang kabin Cipher Coupe ini, membuktikan kereta ini digunakan sebagai sebuah model pembuktian konsep (Proof-of-concept).
 

cipher


Dari segi kuasa, Cipher Coupe ini dijana dengan enjin buatan Mitsubishi 4G93P DOHC beserta transmisi manual lima kelajuan yang diperoleh daripada Proton Putra, mengekalkan konfigurasi pacuan roda depan yang sama seperti kereta asal.

Disebabkan kereta ini dibawah jagaan yang baik sejak dari tahun 1996 lagi, ia tidak mengalami sebarang masalah teknikal pada bahagian mekanikal, selain tidak mempunyai sebarang insiden kebocoran yang dikesan sepanjang tempoh pemilikan.

 

proton


Pembida yang berjaya akan turut dibekalkan bukan sahaja dengan acuan panel badan luar dan lukisan kejuruteraan asal yang dilukis dan ditandatangani sendiri oleh Prof. Stevens, malah akan turut diberikan buku manual penggunaan asal yang masih lagi tertera logo lama Proton.

Bidaan untuk Cipher Coupe 1996 ini akan dibuka pada 21 Oktober ini di laman web Car & Classic.

Baca: Proton Satria GTi tawan Litar Nurburgring